Dakwaan Bakal Berkahwin Dalam Masa Terdekat? Ini Jawapan Sufian Suhaimi

Penyanyi Sufian Suhaimi kini tampil dengan single baharu berentak balada yang berjudul Menggenggam Bahagia hasil ciptaan komposer Sirkhan, Rinkarnaen, dan Sang Hitam.

Kembali dengan genre balada seperti yang diterbitkan pada awal kemunculannya dahulu, Sufian terharu apabila karya terbaharu ini masih mendapat tempat di hati pendengar.

“Setahun lalu Sirkhan beri demo lagu ini, jadi saya rasa Menggenggam Bahagia ada ‘sesuatu’ yang saya rasa lama saya tak keluarkan. Saya memang ada keluarkan lagu baharu tetapi peminat merindui lagu berentak Balada seperti karya pertama saya bersama Sirkhan.

“Setelah bertahun, inilah buah tangan saya yang terbaharu. Lagu ini dibuat setahun lalu, banyak proses kami lalui untuk dapatkan lirik, susunan dan melodi yang terbaik.

“Saya rasa terharu bila ramai yang menunggu genre ini kembali dan relevan sehingga ke hari ini. Itu satu suntikan semangat kepada saya dan pasukan untuk hasilkan karya yang bagus,” kongsinya ketika dihubungi XTRA.

Dalam pada itu, Sufian mengakui terkejut apabila ada dakwaan yang mengatakan dengan luncurnya lagu baharu ini seolah-olah memberi petanda bahawa dia akan ke fasa perkahwinan tidak lama lagi.

“Saya pun baru dapat tahu semalam. Saya juga terkejut, tak tahu mana mereka dapat info tersebut.

“Bagi saya tiada kaitan pun, lagu Menggenggam Bahagia ini tiada pun sebarang gimik ataupun makna tersembunyi mengenai kehidupan peribadi saya.

“Ini memang tulisan komposer dan penulis lirik sendiri, mereka juga tak tahu secara terperinci mengenai kehidupan peribadi saya, jadi saya tak rasa lagu ini sebagai petunjuk untuk apa-apa yang bakal berlaku dalam masa terdekat.

“Saya cuma mahu hasilkan lagu yang terbaik demi peminat dan pendengar muzik, tiada kaitan dengan kehidupan peribadi,” jelasnya.

Tambah pemenang Persembahan Terbaik pada Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL 33) ini, dia menafikan dakwaan bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

“Tidak, bukanlah dalam masa terdekat. Apa yang saya buat dalam kehidupan peribadi ini saya juga ada perancangan mendatang.

“Muzik tetap menjadi ‘passion’ saya. Dari sekolah lagi muzik adalah semangat saya yang besar. Dalam menjalani kehidupan ini, minat semata-mata tidak ‘mengenyangkan’ perut. Bukan bermaksud ia tidak beri sebarang kebaikan, muzik juga mengubah banyak hidup saya.

“Sudah tentu saya ada keinginan ke arah itu tapi saya juga merancang seperti orang lain juga. Kalau nak cakap saya akan ke fasa seterusnya dalam masa terdekat ini tidaklah,” ujarnya.

Sufian turut menjelaskan hubungannya kini bersama seorang gadis dalam keadaan baik sahaja dan tetap dengan pendirian untuk memilih privasi sebagai keutamaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sufian Suhaimi Kongsi Sedang Kenal Hati Budi Seorang Wanita – “Bukan Memilih Untuk Berahsia Cuma…”

ARTIKEL BERKAITAN: Didakwa Bercinta Dengan Selebriti Wanita? Ini Jawapan Sufian Suhaimi

Khairil Khusyairi