Dakwaan Masuk Mentor Milenia Sebab ‘Kabel’, Apa Komen Anak Nora?

Anak kepada penyanyi terkenal, Nora Ariffin, Muhammad Syakir Alif Johan Nawawi nafi menggunakan ‘kabel’ dalam penyertaan program Mentor Milenia 2019.

Katanya ketika ditemui Xtra, dia tidak berkecil hati dengan kata-kata sinis berkenaan malah mahu membuktikan dirinya berbakat dalam bidang nyanyian.

“Ada yang kata saya terpilih sebab pengaruh ibu sebagai penyanyi.

“Saya agak tertekan bila timbul dakwaan ini dan saya akan tunjukkan kemampuan saya nanti. Saya terima sahaja kritikan negatif yang dilemparkan dengan hati terbuka,” katanya ketika ditemui di sidang media pengumuman peserta Mentor Milenia di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Tambah pemuda berusia 21 tahun ini, dia berniat untuk meneruskan legasi ibu dan arwah bapanya yang merupakan anak seni.

Mentor Milenia musim ketiga bakal bersiaran pada pukul sembilan malam setiap Ahad di TV3.

Kali ini rancangan itu membariskan Akim Ahmad, Stacy Anam, Ernie Zakri, Black Hanifah dan Hazama sebagai mentor.

SGMS Faida