Demi Isteri, Hafiz Suip Sanggup ‘Cuti’ Memancing Sembilan Bulan

Umum tahu, penyanyi Hafiz Suip merupakan seorang yang gemar memancing di laut. 

Namun begitu, Hafiz ketika ditemui di sidang media Muzik Muzik 34 semi final hari ini memberitahu dia terpaksa ‘bercuti’ seketika daripada aktiviti memancing.

“Dengan keadaan isteri yang kini mengandung di fasa kedua trimester, saya dinasihatkan keluarga agar tidak turun ke laut atau sungai selagi isteri belum melahirkan.

“Saya sebenarnya tidaklah percaya dengan pantang larang yang mengatakan isteri hamil suami tidak boleh pergi memancing. Cuma buat masa ini saya hormati permintaan keluarga,” katanya.

Terdahulu, Hafiz dan Effy berkahwin pada 14 Mei 2016 dan mempunyai seorang anak lelaki, Muhammad Riyadh Zafri yang lahir pada 31 Disember 2017.

Mungkin ramai yang pernah dengar, seeloknya suami tidak turun memancing ketika isteri sedang mengandung kerana dikatakan bimbang anak berdepan masalah sumbing.

Hakikatnya, sihat atau sebaliknya seseorang bayi itu bergantung kepada ketentuan Allah yang berkuasa menentukan segalanya.

Terpulang pada individu sama ada untuk mempercayainya atau tidak, ye tak?

SGMS Faida