“Dia Keluar Pun Bukan Ikut…” – Diana Danielle Tak Berjumpa Ibu Bapa Farid Kamil

Pelakon sensasi, Farid Kamil memaklumkan isterinya, Diana Danielle tidak menegur kedua ibu bapanya ketika berada di Mahkamah rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada prosiding laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes penceraian mereka, hari ini.

Farid mengatakan kemungkinan ibu bapanya tidak perasan kedatangan Diana memandangkan ramai yang mengenakan warna pakaian dan tudung yang sama iaitu serba hitam berserta pelitup muka.

“Saya rasa mereka tak perasan mana satu Diana sebab semua pakai tudung hitam, tutup muka. Dia keluar pun bukan ikut pintu utama,” katanya.

Kehadiran ibu bapanya, Datuk Dr Zahari Che Dan dan Datin Sharifah Bardah Syed Abdillah datang dari Kedah dengan membawa sokongan dan doa buat rumah tangganya.

“Ini kali pertama mereka hadir ke mahkamah untuk memberi sokongan dan nampak sangat mereka tak pernah ke mahkamah.

“Mereka memberi sokongan dan doa kepada saya agar perkahwinan ini mendapat keputusan yang baik.

“Ibu bapa yang sentiasa menyokong anak-anak walau dengan apa keadaan sekali pun. Hari ini, kedatang mereka dari Kedah untuk bersama-sama melihat situasi dan perkembangan terkini,” ujarnya lagi.

Pada 10 Mac lalu, Diana dan Farid memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaing,Subag Bestari.

Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Sehubungan dengan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana menjalankan perintah JKP.

Untuk rekod, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata.

Nurul Hana