Dianggap Playboy, Qi Razali Ambil Masa Rawat Hati – “Tidak Adil Untuk Wanita Itu…”

Pelakon dan pengacara, Qi Razali mengakui mengambil masa yang lama untuk mengubati hati selepas beberapa kali putus cinta.

Memetik laporan Utusan, Qi atau nama sebenar Qushairi Mohammed Razali Wong, 45, memberitahu ramai yang menganggap dirinya lelaki kasanova kerana perkara tersebut.

“Bukan tidak mahu ada pasangan hidup, tetapi saya jenis susah untuk mulakan perhubungan baharu atau keluar dengan mana-mana wanita jika belum benar-benar okey.

“Saya memang ambil masa sikit untuk merawat hati. Macam tidak adil untuk wanita itu. Ini pun selepas dua tahun single, baru saya bersedia untuk kenal orang baharu.

“Tetapi, jangan salah faham. Tidak bermakna sekarang saya sudah jumpa mana-mana wanita,” katanya.

Menurutnya, usianya yang semakin bertambah antara faktor sudah tiba masanya untuk dia menamatkan zaman bujang.

“Saya bagaimanapun, tidak mahu memaksa keadaan. Memang di mulut, saya cakap waktunya sudah dekat. Tetapi, itu tidak bermaksud saya mahu berkahwin sekarang. Saya sedar bila tengok orang sekeliling, semua sudah ada keluarga sendiri.

“Saya tengok Radhi pun begitu. Masa dia berjuang dengan jatuh bangun hidupnya, anak adalah sumber semangatnya. Bohonglah kalau saya tidak mahu ke fasa seterusnya.

“Mungkin jika saya bernikah, saya tidak dapat luangkan lebih banyak masa dengan ibu. Macam sekarang, hari-hari ibu ajak ziarah kubur arwah ayah dan saya akan bawa. Saya memang sentiasa dengan ibu,” katanya.

Tambahnya, dia tidak mahu mengambil masa lama untuk mengenali hati seseorang jika sudah bertemu dengan wanita yang menepati cita rasa yang sesuai untuk dijadikan calon isteri.

“Kalau semua okey, jalan terus. Orang kata, jangan lama-lama. Cuma, ketika ini saya belum mempunyai teman wanita istimewa. Saya tidak menutup pintu hati, tetapi tidak juga mencari,” katanya.

Maya Basir