Dihempas Ke Lantai & Leher Dicekik, Lesti Kejora Buat Laporan Polis Terhadap Rizky Billar

Penyanyi dangdut Indonesia, Lesti Kejora tampil mengejutkan ramai apabila membuat laporan polis terhadap suaminya, Rizky Billar atas jenayah kekerasan dalam rumah tangga pada Rabu.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Perhubungan Awam Polis Metro Jakarta Selatan, AKP Nurma Dewi.

“Iya (Lesti buat laporan polis di Polis Metro Jakarta Selatan),” katanya.

Pada masa berbeza, Nurma berkata, laporan yang dibuat oleh Lesti Kejora itu ditujukan kepada suaminya, Rizky Billar.

“Kalau menurut Saudari Lesti, yang melakukan adalah suaminya sendiri,” ujar Nurma.

Menurut Nurma, selepas Lesti Kejora membuat laporan keganasan rumah tangga terhadap Rizky Billar, penyanyi itu terus menjalani bedah siasat.

Bagaimanapun, masih tidak dapat mendedahkan keputusan pemeriksaan tersebut. Hasil bedah siasat juga adalah untuk mengukuhkan laporan Lesti Kejora tentang apa yang berlaku kepadanya.

“Jadi, untuk dimaklumkan, kes ini adalah wajib untuk dibedah siasat,” katanya.

Laporan Lesti juga telah diterima oleh penyiasat Polis Metro Jakarta Selatan dan siasatan sedang dijalankan.

Tidak lama selepas itu, laporan polis yang dibuat Lesti tersebar berhubung dakwaan kes keganasan rumah tangga dilakukan suaminya, Billar.

Dalam laporan polis tersebut, Billar dikatakan melakukan keganasan terhadap Lesti selepas didakwa berlaku curang ke atas isterinya itu.

“Apabila mangsa meminta dihantar pulang ke rumah ibu bapanya, Billar dilaporkan beremosi dan menolak mangsa, melemparkan mangsa ke atas katil dan mencekik leher mangsa sehingga jatuh ke lantai.

“Perkara tersebut juga berlaku berulang kali, kemudian pada pukul 10 malam dilaporkan cuba menarik tangan mangsa ke arah bilik mandi dan menghempaskan mangsa ke atas lantai,” lapor Lesti.

Atas kejadian itu, Lesti dilaporkan mengalami kesakitan pada tangan, leher dan tubuhnya dan bertindak membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Pasal 44 Undang-undang No.23 Tahun 2004 tentang Penghapusan Keganasan Rumah Tangga (UU PKDRT) dan jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dipenjara sehingga 15 tahun sekiranya mangsa mengalami luka berat ataupun meninggal dunia.

Sehingga kini, pasangan tersebut belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kes tersebut.

Lesti Kejora dan Rizky Billar mendirikan rumah tangga pada 19 Ogos 2021 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Leslar Al-Fatih Billar.

Sumber: Kompas.com

Khairil Khusyairi