Categories: HiburanTrending

Hadir Sokong Menantu Jayakan Teater, Yusof Haslam Gembira Lihat Puteri Sarah Aktif Berlakon – “Tak Nak Dia Terperap Di Rumah”

Pengarah dan penerbit tersohor, Datuk Yusof Haslam gembira melihat menantunya, pelakon Puteri Sarah kembali aktif di persada seni.

Hadir memberi sokongan kepada Sarah membintangi teater Maduku Terpaling Kalut yang membuka tirai malam tadi, Yusof menggalakkan menantunya kembali aktif dalam bidang lakonan.

“Saya datang pada malam ini untuk memberi dorongan kepada menantu saya yang pertama kali berlakon teater. Dia ada menjemput saya untuk hadir dan sebagai bapa mentua, saya datang menyokong,” katanya.

Selepas bernikah dengan pengarah Syamsul Yusof pada 2014, Sarah memperlahankan karier lakonan untuk memberikan tumpuan terhadap keluarga dan anak-anak.

Tambah pengarah filem Sembilu itu, dia sendiri tidak mahu Sarah tinggal di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti.

“Saya gembira lihat Sarah kembali rancak berlakon. Saya sendiri galakkan dia aktif mengambil tawaran kerana saya tak mahu dia asyik terperap di rumah. Nanti dia lagi tertekan.

“Jika dia tertekan, perkara itu sebenarnya tak elok untuk kesihatan dan tak bagus untuk masa depan. Bagi saya, dia perlu keluar bekerja memandangkan bidang lakonan adalah minatnya,” katanya lagi.

Yusof ditemui pada pementasan pertama teater Maduku Terpaling Kalut di Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya (PJPAC), 1 Utama, Damansara malam tadi.

Selain Sarah, teater arahan sutradara Azhar Zainal ini turut menampilkan Azrel Ismail, Anna Jobling, Syafiq Naser, Curly Jow dan Aya Amiruddin.

\

Hari pertama pementasan terbabit berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 200 penonton serta selebriti seperti Dafi, Zulin Aziz, Zoey Rahman, Ramlah Ram, Datuk Yusof Haslam dan ramai lagi.

Teater Maduku Terpaling Kalut dipentaskan bermula 29 September sehingga 2 Oktober ini dan tiket boleh dibeli di laman web www.onetix.com.my atau pembelian secara terus di kaunter mengikut kekosongan tempat duduk.

Kredit foto: Bangsawan Pictures

Padin