“Disebabkan Tindakan Bod*h Kau, Orang Lain Dapat Susah!” – Isu Beri Influencer 1 Beg Kacang, Netizen Dakwa Stewardess Dah Kena Tindakan Tatatertib

Baru-baru ini tindakan seorang pempengaruh media sosial yang dilihat menerima satu beg plastik berisi pek kacang yang diberikan secara percuma oleh pramugari mendapat pelbagai respons dalam kalangan warganet.

Malah, penyanyi Zarul Umbrella juga tidak ketinggalan tampil memberikan pandangannya terhadap isu sama memandangkan beliau pernah berkhidmat sebagai pramugara di syarikat penerbangan yang sama.

“Pada pendapat saya, adalah sesuatu yang mengecewakan.

“Sebenarnya kacang itu ikut SOP, hanya bagi seorang penumpang satu sahaja untuk setiap penerbangan. Tapi on request, boleh bagi dua atau tiga… mungkin paling banyak 5 ke 6 lah.

“Kalau ada lebih atau penumpang tu request mungkin boleh lah kita bagi dalam satu pek kecil tu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:[VIDEO] Zarul Umbrella Kecewa Pramugari Bagi Influencer 1 Beg Kacang

Mengulas lanjut mengenai insiden yang berlaku, rata-rata warganet menyalahkan pempengaruh tersebut dan menganggap tindakan menayang dan memuat naik foto berkenaan di media sosial adalah tidak wajar dilakukan terutamanya bagi menjaga privasi pramugari berkenaan.

Difahamkan, sejak insiden ini berlaku, terdapat segelintir individu yang mula meminta kacang tersebut dalam penerbangan mereka malah, ada juga yang tampil mempertikaikan tindakan staf penerbangan berkenaan kerana enggan memberikan mereka pek kacang lebih dari jumlah asal yang patut diterima.

Sementara itu, terdapat juga warganet yang mendakwa bahawa pramugari yang terlibat dalam isu viral ini sedang berdepan tindakan tatatertib kerana melanggar etika bekerja.

 

Salma Syahbuddin