Dikatakan Trauma Akibat Dicabul Bapa, Sumber Dakwa Puteri Balqis & Ibu Hidap PTSD Selepas Jumpa Pakar Psikiatri

Pelakon remaja, Puteri Balqis dan ibunya, Norashikin Mohd Aziz didakwa menghadapi gangguan dan tekanan selepas trauma atau (PTSD) selepas berjumpa pakar psikiatri.

Memetik laporan Boom, sumber mendakwa tujuan Puteri Balqis dan ibunya dibawa berjumpa pakar psikiatri adalah untuk mengesahkan sama ada penderaan mental benar berlaku terhadap aktres itu.

“Selepas laporan polis dibuat atas nasihat peguam Aqish (Puteri Balqis) dan ibunya dibawa ke hospital untuk berjumpa pakar psikiatri.

“Tujuannya adalah untuk membuktikan apa yang dikatakan oleh Aqish itu benar dan penderaan mental yang dialaminya juga benar-benar berlaku.

“Kita pun tidak mahu orang menuduh dia meraih simpati atau mereka-reka cerita. Jadi, dia ke hospital bersama dengan polis,” kata sumber.

Sebelum ini, nama Aqish menjadi sebutan ramai setelah membuat pendedahan ‘berani mati’ yang mendakwa dirinya menjadi gangguan seksual sejak berusia enam tahun oleh bapa kandungnya.

Aqish berkongsi sebahagian kisah gelap dalam hidupnya menerusi satu program temubual podcast di saluran YouTube Bros Gang TV pada Sabtu lalu.

Aktres Akulah Balqis turut membuat laporan polis di Balai Polis Sri Damansara, Petaling Jaya, pada Isnin lalu berhubung isu berkenaan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 149(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika didapati bersalah.

Sumber: Boom!

Aqilah Paharuzi