Disebut Mirip Andmesh Kamaleng, Apa Komen Bulan Mentor Milenia?

Korang perasan tak wajah salah seorang protege program Mentor Milenia 2019, Bulan iras penyanyi terkenal Indonesia, Andmesh Kamaleng. Ala…pelantun lagu Cinta Luar Biasa tu!

Amacam, ada iras tak?

Mungkin ramai netizen sudah membincangkannya sebelum ini malah ia diakui oleh Bulan sendiri.

“Memang ada kawan-kawan dan netizen yang cakap muka saya iras Andmesh. Tak tahu nak cakap apa tapi saya salah seorang peminat dia dan selalu menyanyikan lagu popular, Cinta Luar Biasa sebelum ini.

“Saya sendiri pun tidak pasti bahagian mana yang sama. Mungkin warna kulit ataupun nampak dari belakang sahaja kot,” katanya kepada Xtra.

Sementara itu, Bulan atau nama sebenarnya Muhamad Asyraff Mohd Zamani memberitahu dia sebelum ini bergiat aktif sebagai busker di sekitar Kuala Lumpur.

“Saya menyanyi bersama kumpulan busker sejak dua tahun lalu. Biasanya kami menghiburkan penonton di sekitar Wangsa Maju atau Gombak.

“Seronok ada pengalaman menyanyi di tempat terbuka. Selain dapat berjumpa ramai orang, saya juga boleh mengasah bakat menyanyi pelbagai genre lagu. Walau menyanyi di tepi jalan, saya anggap ia pengalaman amat berharga,” akhiri Bulan.

Saksikan Mentor Milenia setiap hari Ahad, pukul 9.00 – 11.30 malam selama 10 episod dan dihoskan oleh Shuk Sahar, Elly Mazlein dan Zetty (Hot FM). Untuk maklumat lanjut, boleh ke laman sesawang http://www.xtra.com.my/mentormilenia

SGMS Faida