Dituduh Ambil Duit Peminat…Erma Fatima Akhirnya Bersuara

Pengarah dan pelakon, Erma Fatima menafikan dakwaan warganet mengatakan dia mengambil duit peminatnya juga Orang Kurang Upaya (OKU) yang datang membawa sejumlah wang dikumpul dan berjalan ke Istana Budaya, semata-mata mahu menonton teater Pawana Isabella.

Berikutan menerima terlalu banyak komen negatif oleh warganet, Erma tampil memberikan penjelasan.

Katanya, peminat OKU terbabit datang membeli tiket dua hari sebelum pementasan berlangsung dan penjaga tiket memberitahu kepadanya perihal perkara itu.

“Biarlah saya jelaskan supaya perkara baik ini tidak mengundang dosa kepada kalian yang memberikan persepsi jauh tersasar,” katanya.

“Sewaktu bertemunya saya kembalikan wang yang dikumpul peminat itu berserta wang berjumlah RM100 dalam sampul terbabit. Itu sedekah saya kepada dia.

“Saya letakkan sampul itu ke tepi sebab takut dia berasa kurang senang tambahan pula diberitahu yang dia sudah menghasilkan kerja tangan berbentuk hati daripada not RM1 dan diberikan kepada semua penjaga kaunter. Apabila ada yang menolak pemberiannya itu dia marah,” katanya.

Sebelum ini Erma berkongsi rakaman video bersama peminat terbabit bagi menyaksikan teater Pawana Isabella yang mula dipentaskan, 21 hingga 31 Ogos lalu dan dimuat naik di laman Instagram miliknya.

“Takkan saya mahu mengambil wang milik anak syurga ini. Masya-Allah sejauh itu pandangan anda kepada saya.

“Sekalipun saya ini jahat, tidak mungkin tergamak untuk menganiaya anak syurga ini yang sanggup kumpul duit dengan berniaga fotostat semata-mata untuk menonton persembahan saya,” katanya dia mempunyai beberapa saksi melihat situasi mendengar perbualan antara dia dengan peminat OKU terbabit.

Sementara itu, teater Pawana Isabella dipentaskan semula bermula 13 hingga 16 September ini atas permintaan ramai sekali gus meraikan sambutan Hari Malaysia.

SGMS Faida