Donnie Yen Gembira Pelakon Asia Mula Diiktiraf Di Hollywood – “Ia Melibatkan Bakat Dan Bukan…”

Baru-baru ini, Tan Sri Michelle Yeoh telah memenangi anugerah berprestij, Golden Globe dan sekaligus membuktikan bakat dari negara Asia.

Pelakon kelahiran Hong Kong, Donnie Yen berpendapat bahawa penggiat seni dari negara-negara Asia juga mempunyai bakat yang besar dan mampu meraih perhatian penggemar filem di peringkat global.

Menurut Donnie atau nama sebenar Yen Chi Tan, Hollywood memang sudah sepatutnya memberi pengiktirafan kepada bakat Asia yang setaraf dengan pelakon-pelakon hebat lain.

“Apabila menyebut tentang lakonan, ia melibatkan bakat, bukan warna kulit, mahu budaya seseorang.

“Sebab itu saya kurang faham kenapa Hollywood mengambil masa yang agak lama untuk mengakui kehebatan bakat-bakat dari Asia.

“Sejujurnya, saya gembira melihat bakat Asia sudah mula mendapat pengiktirafan tetapi jika dilihat pada peratusan peluang diraih orang Asia berbanding orang Barat ia masih terlalu rendah,” katanya.

Mengulas lebih lanjut tentang pengiktirafan di Hollywood, Donnie berpendapat agar orang Asia perlu terus memperjuangkan usaha mereka.

“Kita tak boleh setakat berlakon dalam filem dengan mengharapkan semuanya hebat-hebat belaka. Kita perlu terus berjuang.

“Maksud berjuang adalah dengan berani memainkan sesuatu karakter dengan cemerlang dan menunjukkan pada dunia serta buktikan warna kulit bukan penghalang.

“Orang Asia perlu ada semangat untuk memulakan sesuatu. Mentaliti seorang pejuang itu perlu sentiasa ada,” ujarnya.

Donnie ditemui semasa majlis sidang media filem terbarunya berjudul Sakra yang sudah mula ditayangkan pada hari ini di pawagam seluruh Malaysia.

Menerusi filem tersebut, Donnie bukan sahaja memegang watak utama malah merupakan pengarah dan penerbit bersama.

Maya Basir