#DramaTonton; GHAIB Buat Shukri Yahaya Meremang

Pelakon drama bersiri Ghaib, Shukri Yahaya memaklumkan drama bersiri Ghaib bakal menyerlahkan sisi lain menerusi watak Detektif Reza.

Ketika ditemui di set penggambaran drama Ghaib di Kolej Ibu Zain, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini, pelakon ini turut berkongsi pengalaman menarik.

“ Ini merupakan kali pertama saya membawa watak detektif di mana penjiwaan mendalami dialog lebih bersifat formal dan berdasarkan fakta.

“ Ada satu babak yang memerlukan kami berada di dalam gua. Walaupun saya bukan seorang yang penakut dengan keadaan gelap tetapi bila berada di situ, rasa seramlah juga. Bayangkan tiada cahaya langsung ditambah keadaan tanah yang basah, pengalaman berlakon dalam itu saya sukar lupakan. 

“ Ada juga terdengar kisah pelik di situ tetapi Alhamdulillah, sepanjang dua minggu berada di set penggambaran Ghaib saya tidak berdepan dengan situasi mencemaskan seperti ternampak apa-apa yang pelik, histeria atau sebagainya,” katanya kepada xtra.com.

Dalam pada itu, Shukri juga membuat persediaan awal dengan menonton filem Flashpoint sebagai sumber rujukan.

“ Sebelum masuk ke set, saya ada buat homework dengan menonton filem. Saya mempelajari cara pergerakan dan percakapan detektif dalam filem tersebut sebagai rujukan awal. Dalam masa sama, teman-teman dan pengarah juga banyak berkongsi idea untuk menjadikan watak Detektif Reza lebih sempurna,” katanya.

Drama bersiri Ghaib turut dibintangi oleh Siti Elizad, Eyka Farhana, Joanna Bessey dan Neera Azizi. Drama ini mengisahkan seorang detektif bernama Riza yang sangat bekerja-keras dalam menjalankan tugas. Detektif Riza dan Sarjan Anita diarah untuk menyiasat kehilangan seorang remaja yang hilang selepas memasuki sebuah terowong gelap. 

Ghaib diadaptasi daripada novel ‘Projek Seram Terowong’ dan bakal ditayang bermula 15 Disember 2018 pada jam 12 tengahari hanya di Tonton!

SGMS Faida