Dream Theater Bakal Gegarkan Kuala Lumpur Dan Singapura Pada Mei Ini

Kumpulan dari Boston, Amerika, Dream Theater akan muncul di Kuala Lumpur dan Singapura dalam rangkaian jelajah Top Of The World, bulan depan.

Buat Shiraz Projects, adalah menjadi sebuah kebanggaan dapat menjadi sebahagian dari rangkaian Top Of The World yang bermula dari Seoul, Korea kemudian melalui beberapa buah negara dan dan berakhir di Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Project berkata, pihaknya berbesar hati dapat membawa Top Of The World kepada peminat di Malaysia dan Singapura.

Dream Theater menamatkan jelajah UK 2023 mereka pada 21 Februari, dan telah memulakan semula jelajah di Seoul pada 26 April dan kemudian menuju ke Jepun untuk tiga tarikh di Tokyo, Nagoya dan Osaka.

Pernah muncul sebelum ini di Kuala Lumpur pada September 2017, kemunculan Dream Theater yang dibarisi James La Brie (penyanyi), John Petrucci (gitar), John Myung (bass), Jordan Rudess (keyboard) dan Mike Mangini (dram) sentiasa dinanti-nanti terutama dalam kalangan pemuzik rock dan metal.

Dikenali dengan ketelitian dalam penghasilan muzik, gubahan mereka digemari kerana bersifat progresif, kompleks dan padat terutama daripada permainan gitar Petrucci yang juga ‘mastermind’ band tersebut.

Petrucci adalah antara pemain gitar terhebat dunia. Beliau diletakkan di kedudukan kedua sebagai Pemain Gitar Metal Terbaik dalam buku The 100 Greatest Metal Guitarists pada 2009.

Album terakhir Dream Theater bertajuk “A View From The Top Of The World” telah dilancarkan tahun lalu yang merupakan projek pertama yang dirakamkan di studio mereka sendiri iaitu Dream Theater Headquarters.

Terdahulu, lagu The Alien dalam album yang diterbitkan pada 2021 membawa pulang trofi Grammy pertama mereka bagi kategori Persembahan Metal Terbaik di Anugerah Grammy ke-64 tahun lalu.

Menerusi kenyataan media, A view From The Top Of The World digambarkan sbagai muzik terbaik Dream Theater berikutan perkembangan bunyi yang mereka cipta

Nurul Hana