Elizabeth Tan Akui Teringin Bergelar Ibu, Tapi… – “Perkara Itu Memberi Tekanan Buat Diri Saya”

Penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan mengakui dirinya dibelenggu rasa bimbang kerjaya seninya terjejas selepas menimang cahaya mata pertama.

Sebelum ini, Elizabeth atau lebih mesra disapa Lizzy menyatakan dia teringin menjadi seorang ibu dan berhasrat untuk memiliki zuriat pada tahun ini.

“Memang saya pernah beritahu mahukan anak tahun ini. Jujurnya, saya teringin sangat bergelar ibu.

“Tambahan pula, usia bakal menginjak 30 tahun… Saya bukan lagi muda. Ibu saya juga makin berusia, jadi, kalau boleh, saya ingin memberinya cucu.

“Tetapi apabila memikirkan kehadiran zuriat mungkin memberi kesan kepada kerjaya seni, saya jadi berbelah bahagi.

“Jika mengandung, saya terpaksa bercuti setahun. Selepas itu, watak yang diberi pasti berbeza daripada sekarang. Jadi, saya risau setiap kali memikirkannya,” katanya.

Memetik laporan Berita Harian, Lizzy turut menyatakan status ekonominya juga menjadi salah satu faktor membuatkan dirinya tertekan.

“Suami saya hanyalah doktor pelatih. Jujur saya akui, gajinya tidaklah sebesar mana.

“Jadi kebanyakan perbelanjaan seperti ansuran rumah, kereta dan keperluan ibu bapa, saya yang tanggung.

“Kalau boleh, saya tidak mahu kecewakan sesiapa. Tetapi memikirkan perkara itu memberi tekanan buat diri saya yang benar-benar mahukan anak,” jelasnya.

Bimbang akan popularitinya menjunam selepas menimang cahaya mata, penyanyi itu bagaimanapun meluahkan rasa bersyukur kerana memiliki ibu bapa yang memahami situasinya dan tidak pernah memaksa.

“Saya sudah lihat banyak contoh. Ramai penyanyi wanita yang meniti kemuncak populariti, tiba-tiba menjunam selepas berkahwin dan memiliki anak.

“Sementara penyanyi baharu pula silih berganti. Bila-bila masa kami boleh dilupakan. Jadi perkara itu sangat merisaukan saya,” katanya.

Terdahulu, Elizabeth dan Siew Jim telah mendirikan rumah tangga pada 21 Mac 2021.

 

Sumber: Berita Harian

Fatin Nurain