Empat Tahun Sembunyikan Kisah Cinta, Johan As’ari Bakal Akhiri Zaman Bujang Hujung Tahun Ini

Pelakon Johan As’ari tampil mendedahkan dirinya berancang untuk mengakhiri zaman bujangnya bersama seorang usahawan hartanah, pada hujung tahun ini.

Menurut Johan, dia sudah menjalinkan hubungan bersama gadis bertuah itu selama empat tahun.

“Kami sudah kenal lebih empat tahun bermula dengan percintaan jarak jauh kerana sebelum ini dia belajar di London dan sekarang tinggal di Perlis.

“Selepas mengenali hati budi, kami ada perancangan untuk berkahwin. Andai dia memang jodoh saya, paling cepat hujung tahun ini,” katanya.

Hebat dalam menyembunyikan kisah percintaannya, Johan bagaimanapun enggan mendedahkan identiti wanita yang dikatakan lebih berusia daripadanya.

Memetik laporan Kosmo, pelakon yang membintangi filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan itu sempat meluahkan hasratnya untuk memiliki empat cahaya mata.

“Buat masa ini saya kenalkan dia sebagai ‘N’ yang berusia 39 tahun, tetapi usia bukan halangan malah kematangan itu membuatkan saya selesa berdampingan dengannya.

“Percintaan kami pun bukan macam pasangan lain kerana dia masih menguruskan perniagaan di utara tanah air. Hanya kepercayaan dan ketulusan yang membuatkan hubungan kami terus utuh,” jelasnya.

Malah, pelakon itu turut menyifatkan kekasih hatinya itu memiliki kualiti yang menepati ciri-cirinya untuk dijadikan sebagai isteri.

“N juga seorang wanita yang pandai membawa diri, bukan jenis cemburu atau suka mengawal. Saya tak perlu telefon dia setiap hari kerana kami saling memahami.

“Sepanjang tempoh mengenalinya saya nampak kualiti dimiliki N yang membuatkan saya yakin dia calon suri hati saya,” katanya.

Sumber: Kosmo

Fatin Nurain