Categories: HiburanTrending

Enggan Konflik Berlarutan, Nourul Depp Memilih Untuk Diam – “Saya Tidak Mahu Komen Apa-Apa”

Penyanyi Nourul Depp membuat keputusan muktamad untuk enggan mengulas lagi isu persengketaan dengan anak sulungnya, Ayu Nazirah.

Pemilik nama sebenar Noorulhuda Abdul Wahab itu memberitahu tidak akan bercakap lanjut mengenai perkara tersebut kerana bimbang akan mengundang salah tanggapan netizen.

“Saya tidak mahu orang yang tidak faham meninggalkan komen yang bukan-bukan.

“Jadi saya mahu hentikan. Dia pun sudah ada kehidupan sendiri, begitu juga saya,” katanya.

Menurut laporan Kosmo, terdahulu, dakwaan oleh bekas suaminya, Ajai yang mengatakan hubungan mereka dua beranak sudah kembali jernih adalah tidak benar.

“Saya ada tengok video komen Ajai dan mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri sebab ada perkara yang dia katakan itu betul, ada juga yang tidak betul.

“Jadi, saya tidak mahu komen apa-apa. Itu pendapat dia . Nanti jadi benda lain dan berpanjangan,” ujarnya lagi.

Sebagai seorang ibu, Nourul meluahkan rasa sedih dan kesal dengan tindakan puteri sulungnya itu.

Pelantun lagu Keliru itu mengakui anak-anak bukanlah hak mutlak mereka.

“Anak-anak tidak semestinya hak multak kita. Mereka ada hak untuk melakukan apa sahaja. Selebihnya saya tidak mahu komen apa-apa,” luahnya.

Dalam pada itu, Nourul berharap agar konflik keluarganya dapat diselesaikan dengan baik tanpa ada campur tangan mana-mana pihak.

Sumber : Kosmo

Syamir Shafie