Categories: HiburanTrending

Tak Hirau Kecaman Netizen Pertikai Kelayakan Jadi Artis Pemanas Pentas, Bunga Tetap Bangga…Akhirnya Pengorbanan Ibu Terbalas!

Penyanyi Bunga tidak kisah dengan kecaman netizen yang mempertikaikan kelayakannya menjadi artis pembuka tirai konsert Coldplay baru-baru ini.

Sudah lali dengan kritikan, pemilik nama sebenar Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari itu bagaimanapun tetap berbangga dengan dirinya serta menganggap ia sebagai satu pencapaian terbesar buatnya dan keluarga.

Menurut laporan Kosmo, Bunga mendedahkan kejayaan bermakna itu didedikasikan khas buat insan yang telah melahirkannya, iaitu ibu tercinta.

Bagi pelantun lagu Intan Payung itu, ibunya sentiasa ada di sisinya dan menjadi peneman setia lebih-lebih lagi tatkala dirinya jatuh dikecam netizen.

“Tak banyak perkara mengenai keluarga yang saya kongsikan kepada umum tapi hari ini, terkecuali.

Dari kecil lagi, mama tak pernah berhenti memberikan yang terbaik kepada 11 anaknya demi menjadikan kami orang berguna, tahu asal usul, yang tahu siapa nilai diri kami.

“Susah berliku-liku yang kami lalu, hinaan yang dibaling bertubi-tubi, telah pun kami telan dan lali, menjadikan kami lebih kuat, kuat seperti mama.

“Pencapaian apa pun, terima kasih berapa banyak pun, tidak sama nilainya dengan rasa penat yang mama korbankan, demi kami, anak-anak mama,” tulisnya.

Perkara tersebut dikongsikan di laman Instagram miliknya.

Bunga mengimbau kembali suatu ketika dahulu ibunya tidak pernah berputus asa memberi galakan kepadanya dengan mendaftarkan Bunga dalam pelbagai pertandingan nyanyian.

Hasil dorongan dan kesungguhan ibunya yang ingin melihat anaknya bergelar penyanyi, Bunga telah membuktikan dengan kejayaan yang dikecapinya sekarang.

“Ketika berusia 12 tahun, bercita-cita nak jadi penyanyi, mama masukkan ke uji bakat Idola Kecil, kami bayar bilik karaoke Alamanda Putrajaya untuk berlatih lagu uji bakat, Muka Buku nyanyian Najwa Latiff tapi tiada rezeki untuk ke peringkat seterusnya.

“Rupa-rupanya, hari itu titik permulaan seorang Bunga yang berjaya merentasi pentas lain seperti U Try Rap Please, 16 Baris, Anugerah Juara Lagu sehingga pentas Coldplay sebagai artis pembuka tirai.

“Ini semua kerana mama. Terima kasih mama. Ayu sayang mama dunia dan akhirat selamanya,” jelasnya lagi.

Sumber : Kosmo

Syamir Shafie