Erra Fazira Ucap Tahniah Kepada Shahir, Doa Perkahwinan Kekal Ke Syurga

Pelakon dan penyanyi popular, Erra Fazira mengucapkan tahniah kepada sahabatnya, Shahir Zawawi yang selamat bergelar suami pada 2 September lalu.

Memetik laporan Berita Harian, Erra menitipkan doa buat Shahir dan pasangannya, Jaskin Jaludin, agar mahligai yang dibina kekal hingga ke syurga.

Pelantun lagu Jendela Hati itu juga memohon maaf kepada pasangan mempelai kerana tidak dapat menghadirkan diri pada hari istimewa itu.

“Alhamdulillah, selamat diijabkabulkan dan sudah menjadi suami orang… Semoga berkekalan hingga ke Jannah.

“Erra terima jemputan tetapi minta maaf kerana tidak dapat hadir kerana ada kerja yang tidak dapat dielak,” katanya.

Sebelum ini hangat diperkatakan hubungan di antara Erra dan Shahir, namun Erra mengakui hubungannya dengan Shahir rapat dan baik.

Erra juga mengaku masih mengekalkan hubungan baik dan berhubung dari masa ke semasa dengan Shahir.

Disoal mengenai adakah akan mengekalkan status ibu tunggal hingga hujung usia, Erra menidakkan perkara itu.

“Eh! Saya tak naklah hidup bersendirian. Kenapa nak kena ‘single’ kalau boleh hidup berdua?

“Tetapi kalau Allah sudah ditakdirkan hidup bersendirian selamanya, saya terima sahaja.

“Tapi kalau ada peluang untuk hidup berdua, mengapa tidak?” katanya.

Ketika sesi temubual, Aleesya yang berada di sisi Erra tidak membenarkan ibu kesayangannya berkahwin lain.

“Tidak,” katanya ringkas sambil menggelengkan kepala sebagai jawapan kepada pertanyaan diajukan.

Sumber: Berita Harian

Khairil Khusyairi