Ezzaty Abdullah Selamat Lahirkan Baby Boy, Akui Kali Ini Lebih Sukar – “Ia Proses Yang Amat Menyakitkan”

Pasangan pelakon, Ezzaty Abdullah dan Azwan Kombos berkongsi berita gembira apabila pelakon Rahimah Tanpa Rahim ini selamat melahirkan bayi lelaki pada jam 3.53 pagi tadi.

Perkara itu turut dikongsi Ezzaty menerusi hantaran di laman instagram miliknya.

“10 Rejab pagi Jumaat 3.53am lahir baby kami dengan selamat. Terima kasih atas doa yang tidak putus dari semua. Alhamdulillah,” tulisnya.

Memetik laporan Berita Harian, Ezzaty selamat melahirkan bayi lelaki mereka secara normal dengan berat 2.95 kilogram.

Sementara itu, Ezzaty turut bersyukur apabila dikurniakan rezeki sepasang anak perempuan dan lelaki walaupun proses kelahiran kali ini diakui sangat menyakitkan.

“Alhamdulillah, sudah ada sepasang (anak). Banyak persamaan kelahiran kali ini dengan anak sulung kami, Harum Dalia yang sudah berusia lima tahun.

“Berat kelahiran, doktor yang melakukan prosedur dan cara ‘induce’ atau proses bersalin secara paksaan juga sama. Apa yang berbeza hanya rasa sahaja.

“Kali ini, jujur saya akui rasa macam hendak tercabut nyawa. Inilah pengalaman dan proses kelahiran seperti yang selalu saya dengar dan diceritakan.

“Tetapi di sebalik semua itu, Allah mempermudah dan mempercepatkan proses kelahiran anak ini. Jadi, tidak terlalu lama saya harus menahan sakit,” katanya.

Selain itu, Ezzaty juga memaklumkan bahawa nama dan gambar bayi akan dikongsi kepada peminat selepas tujuh hari atau selepas tempoh berpantang.

Terdahulu, Ezzaty Abdullah, 31 dan suaminya, Azwan Kombos, 36, mendirikan rumah tangga pada Julai 2016 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Harum Dahlia yang kini berusia lima tahun.

 

Salma Syahbuddin