Faizal Hussein Dedah Tolak Tawaran Iklan Raya Sebuah Jenama Terkemuka – “Bayarannya Lebih Rendah Dari….”

Pelakon Faizal Hussein mendedahkan dia terpaksa menolak tawaran untuk menjayakan iklan raya bagi sebuah jenama terkemuka kerana bayarannya yang tidak berbaloi.

Menurut Faizal, dia tidak ‘demand’ namun, menganggap tawaran bagi menjayakan iklan raya dari jenama tempatan lebih berbaloi.

“Saya tolak tawaran dari buat video iklan jenama makanan bertaraf antarabangsa itu kerana bayaran yang ditawarkan lebih rendah dari jenama tempatan.

“Bagi saya cara itu tidak betul dan kita perlu mengajar mereka. Contohnya, jika jenama tempatan bayar saya sehari RM10,000, takkanlah jenama bertaraf antarabangsa itu bayar saya harga yang sama dan sepatutnya perlu lebih tinggi dari itu,”katanya.

Pendedahan itu telah dikongsikan oleh Faizal ketika ditemui di Majlis Viu Together Gather di Pavilion Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Dalam pada itu, pelakon yang pernah membintangi filem Gila-Gila Remaja itu juga menyatakan dia banyak membuat iklan raya untuk platform media sosial sebelum Ramadan.

“Sebenarnya, trend ramai artis yang buat iklan raya di platform media sosial ini sudah bermula sejak beberapa tahun lalu.

“Apa yang penting, mesej yang hendak disampaikan menerusi iklan itu pada penonton seperti kasih sayang, bapa yang sudah lama tidak bertemu dengan anaknya dan sebagainya,” jelasnya.

Malah, Faizal juga sempat mengulas tentang iklan raya yang dijayakan bersama isterinya, Suhaila Sulaiman di gedung pakaian terkenal yang kembali tular di media sosial selepas dua tahun berlalu.

“Video itu sudah lama dan baru tular sekarang mungkin kerana orang tidak perasan sebelum ini.

“Mungkin ketika itu, ada banyak lagi video iklan yang paparkan tema subjek yang lebih menarik.

“Apapun, video iklan saya bersama isteri itu memang menghiburkan sebab itu ia tular sekarang,” katanya.

Fatin Nurain