Famili Duo: Ara Johari & Shaffiq Erwin Rampas Takhta Minggu 2 Dengan 69%, Jom Semak Kedudukan & Markah Penuh Peserta!

Minggu kedua Famili Duo menyaksikan pasangan sepupu, Ara Johari dan Shaffiq Erwin yang membawa lagu Sedang Ingin Bercinta nyanyian asal kumpulan Dewa 19 merampas takhta kejuaraan dengan meraih 69 peratus markah.

Dinilai sebanyak 80 peratus oleh juri tetap, Ajai dan Mas Idayu serta 20 peratus undian atas talian oleh penonton, Ara dan Shaffiq berjaya membawa pulang hadiah mingguan berjumlah RM10,000.

ARTIKEL BERKAITAN: Famili Duo: Bella Astillah & Wani Kayrie Ungguli Minggu Pertama Dengan 62.4%, Ini Kedudukan & Markah Penuh Peserta!

Di tempat kedua, Ayda Jebat dan Fyna Jebat yang menyampaikan lagu nyanyian asal kumpulan Aerosmith, I Don’t Want to Miss a Thing meraih markah sebanyak 68.4 peratus.

Membawakan lagu Drama nyanyian asal Drama Band, duo adik beradik, Yamani Abdillah dan dan Zaki Yamani pula berada di tangga ketiga dengan markah sebanyak 66.5 peratus.

Berikut merupakan markah penuh tujuh peserta Famili Duo di minggu kedua:

1. Sedang Ingin Bercinta – Ara Johari & Shaffiq Erwin (69%)
2. I Don’t Want to Miss a Thing – Ayda Jebat & Fyna Jebat (68.4%)
3. Drama – Zaki Yamani & Yamani Abdillah (66.5%)
4. Marabahaya – Sabhi Saddi & Fareedpf K-Clique (64.8%)
5. Hang Pi Mana? – Naim Daniel & Sissy Imann (52.7%)
6. Aku, Dia & Kamu – Bella Astillah & Wani Kayrie (38.4%)
7. Kejoraku Bersatu – Siti Saida & Siti Sairah (38.2%)

Untuk minggu ini, Datuk Nora Ariffin dan Putri Dahlia yang merupakan pasangan ibu dan anak tampil sebagai penyanyi undangan dengan menyampaikan lagu Di Persimpangan Dilema dan Jera.

Dihoskan oleh Janna Nick dan Izzue Islam, tujuh pasangan selebriti popular yang mempunyai hubungan kekeluargaan bersaing dalam Famili Duo untuk merebut hadiah bernilai RM10,000 setiap minggu dan hadiah utama bernilai RM100,000 di pusingan akhir.

Bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, jangan lupa saksikan Famili Duo setiap Ahad, pukul 9.00 malam hingga 11.00 malam di TV3.

Famili Duo juga dapat ditonton di laman portal video rasmi tonton secara definisi tinggi di www.tonton.com.my.

Gunakan tanda pagar #familiduoTV3 untuk menghangatkan lagi perbualan di laman sosial.

Padin