Famili Duo: Kembali Rampas Kedudukan Pertama, Haqiem Rusli & Ariff Bahran Enggan Terlalu Selesa

Program TV3 Famili Duo Musim Ketiga menyaksikan pasangan sepupu Haqiem Rusli dan Ariff Bahran meragut semula takhta Duo Terbaik dengan wang tunai berjumlah RM10,000 di minggu keempat, malam tadi.

Malah, pasangan duo itu juga masih kekal berada di kedudukan tertinggi carta mingguan dengan peratusan sebanyak 62.5 peratus.

Dengan bertemakan Bollywood dan Dangdut, Haqiem dan Ariff telah membawakan lagu Janam Janam, Goyang Inul dan Cintaku 100% sekaligus berjaya memukau hati penonton.

Lebih mengejutkan lagi, duo tersebut menjadi pasangan pertama yang meraih markah penuh daripada juri tetap, Ajai dan Mas Idayu.

Selain komen yang membina dan positif, Haqiem dan Ariff meluahkan rasa puas hati kerana konsep yang ingin ditontonkan berjaya disampaikan dengan baik.

“Sejujurnya kami tak sangka malam ni dapat markah penuh. Kami sangat bersyukur sebab apa yang kami rancang tu visual kami mereka faham.

“Kita tak boleh jangka sama ada rancangan tu menjadi atau pun tidak. Bila plan kami berhasil, kami sangat berpuas hati,” katanya.

Tambah Haqiem, konsep yang dipamerkan di konsert minggu keempat malam tadi datang secara spontan ketika mereka berkunjung di sebuah restoran mamak.

Namun, mereka nekad untuk tidak terlalu selesa sebaliknya ingin mencungkil lagi idea kreatif untuk menarik perhatian penonton dan juri.

“Untuk minggu depan kami tak boleh terlalu selesa. Sebab ada saja yang dapat markah rendah boleh ke atas. Jadi kami kena cari idea yang lebih bernas supaya tak nampak sama dan faham konsep,” jelasnya.

Dalam pada itu, pasangan duo ini telah memilih tema Idola & Lagenda untuk pusingan minggu kelima program nyanyian tersebut.

Selain Haqiem & Bahran, program yang dikendalikan oleh Janna Nick & Izzue Islam itu turut disertai oleh Shila dan Syahir, Tom dan Fuad, Adira dan Emma, Ryan dan Adam, Syaiful dan Shariff.

Orang ramai boleh menonton Famili Duo Musim Ketiga setiap hari Ahad, jam 9 malam, di TV3 atau secara strim menerusi aplikasi Tonton.

Fatin Nurain