Fasa Pertama ‘Konsert Journey To The Future’ Shila Amzah Jelajah 6 Lokasi

Penyanyi, Shila Amzah, 33, mengakui teruja atas rezeki dan peluang untuk mempersembahkan karyanya dalam konsert berskala besar di enam lokasi terkemuka bermula di Kuala Lumpur, kemudian Pulau Pinang, Sabah, Singapura dan dua di Indonesia.

Shila ketika ditemui media semasa sidang media konsert ‘Journey To The Future’ pada Jumaat lalu berkata konsert ini akan memberi impak besar sepanjang penglibatannya dalam industri seni.

“Saya mahukan tema yang memberi impak kepada kerjaya saya untuk tahun ini. Saya sangat bersyukur mengadakan konsert di enam lokasi dalam masa setahun dan ini baru sahaja fasa pertama. Kemudian, kami akan meneruskan dengan rangkaian konsert untuk fasa kedua dan ketiga,” katanya.

Dalam pada itu, pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-36 ini turut berkongsi mengenai tema pada konsert kali ini yang berkait rapat dengan kisah pahit manis sepanjang tiga dekad bergelar anak seni.


“Saya melalui beberapa kisah trauma dalam kehidupan saya dan bukan sesuatu perkara yang mudah. Tema yang saya fikirkan adalah segala kesukaran dan kepahitan dalam kehidupan dan kerjaya seni sehingga telah membuatkan saya sampai ke tahap ini.

“Jadi, signifikasinya adalah lagu-lagu yang saya akan nyanyikan di konsert pertama adalah lagu yang ditulis sewaktu masa sukar dan fasa gelap saya sehingga ke tahap yang lebih baik hari ini.

“Fasa sekarang adalah yang terbaik dan saya harap ia berkekalan,” katanya.

Sementara itu, Shila juga berkata konsert ini akan menjadi momen paling manis kerana berpeluang membawa anaknya, Seth Uwais bersama sepanjang siri jelajah konsert itu nanti.

“Saya dibenarkan membawa anak bersama sepanjang konsert ini. Tentunya saya gembira kerana sebagai ibu tunggal, saya kena ambil peduli tentang dia.

“Seth juga akan menjadi pembakar semangat saya nanti,” jelasnya.

Konsert fasa pertama ini bakal berlangsung selama dua jam dan menampilkan 40 lagu, termasuk medley serta akan membuka tirai di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada 4 Mac 2023.

Penjualan tiket akan dibuka pada 16 Januari menerusi All Access Asia dan TicketCharge dengan dijual pada harga RM238, RM338, RM438 dan RM638 (VIP).

Aqilah Paharuzi