Fattah Teruja Bawa Fazura Balik Kampung

Syawal kali ini mungkin berbeza bagi pasangan selebriti popular, Fattah Amin dan Fazura yang pertama kali menyambut raya sebagai suami isteri.

Menggunakan kesempatan yang ada, dengarnya Fattah Amin bakal bawa isteri tersayang balik ke kampung halamannya di Bagan Datuk, Perak.

“ Ini mungkin waktu paling sesuai untuk kami menziarahi saudara mara. Sejak kami berkahwin, jadual agak padat dengan komitmen kerja.

“ Syawal pertama kami berada di rumah mentua saya di Pekan, Pahang sebelum pulang, esok,” katanya.

Pasangan ini bakal pulang ke Bagan Datuk pada hari raya kedua.

“ Kesempatan ini akan saya guna untuk memperkenalkan isteri kepada saudara-mara yang belum pernah bertemu.

“Maklum sajalah, sebelum ini, masing-masing sibuk. Pada musim perayaan sajalah kita boleh melawat sambil mengeratkan tali silaturahim sesama anggota keluarga,” katanya kepada BH Online.

Berkongsi pendapat yang sama dengan Fattah, Fazura memberitahu, Aidilfitri kali ini lebih ditumpukan untuk bersama keluarga.

“Pada bulan Ramadan, kami berdua terlalu sibuk dengan sesi bertemu peminat apabila turun padang mempromosikan produk kami.

“Jadi pada hari raya, fokus kami hanyalah bersama keluarga. Disebabkan itu, kami tidak membuat sebarang majlis pada hari raya ini,” akhirinya.

SGMS Faida