Flash & Dash, Buah Tangan Baharu Yonnyboii Bersama Guccimith

Rapper tempatan yang terkenal dengan lagu Salahku dan Sakit, Yonnyboii kini tampil dengan sebuah karya hebat berjudul Flash & Dash.

Lagu ini juga menyaksikan gandingan khas Yonnyboii dan penyanyi rap kelahiran Sarawak iaitu Guccimith.

“Saya rasa lagu ni lebih segar serta menyeronokkan. Belum ada lagu dengan gaya seperti ini. Malah secara peribadi ia sesuatu yang saya sendiri tidak pernah buat. Ia boleh dianggap eksperimental untuk diri saya yang belum pernah mencuba gaya sebegini,” jelas Yonnyboii.

Lagu yang dicipta oleh Yonnyboii, SonaOne, Wolfy, dan GUCCIMITH ini diinspirasikan daripada sebuah siri Anime Jepun yang pernah popular sekitar tahun 90-an.

“Pesan yang kerap dipaparkan dalam siri kartun tersebut adalah bagaimana watak-watak utamanya sentiasa ingin berusaha menjadi juara dan pemenang. Jadi itulah yang ingin saya kongsikan.

“Kita semua ingin jadi yang terbaik namun masa itu suntuk. Kita tidak mungkin dapat mengejar waktu. Jadi berusahalah secepatnya jika mahu berjaya,” tambahnya lagi.

Berkongsi lanjut, proses rakaman lagu hanya memakan masa tidak sampai 3 jam kerana pihak yang terlibat memberikan kerjasama yang cukup baik.

Flash & Dash boleh dendengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music bermula 26 Mei lalu.

Muzik video lagu Flash & Dash ini juga telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Yonnyboii pada 26 Mei lalu.

Izzi Farhana