Gara-Gara Squid Game, Pemilik Nombor Telefon Dakwa Terima Panggilan Lebih 4,000 Kali Sehari

Siri drama Squid Game yang mula ditayangkan pada 17 September lalu masih mengungguli carta perkhidmatan penstriman video terkenal di banyak negara sekali gus menjadikannya siri Korea Selatan paling popular.

Namun, siapa sangka nombor  telefon yang tertera pada kad nama dalam drama bergenre thriller itu sebenarnya wujud dalam dunia realiti.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh The Korea Herald, pemilik nombor telefon itu memaklumkan telah menerima lebih 4,000 panggilan setiap hari sejak drama itu ditayangkan.

“Setelah Squid Game ditayangkan, saya telah menerima panggilan dan SMS tanpa henti, sehingga sukar bagi saya untuk meneruskan kehidupan seharian,” katanya.

Nombor telefon digunakan sejak 10 tahun lalu

Selain itu, pemilik nombor telefon berkenaan juga mengakui beliau amat terkejut kerana telah menggunakan nombor tersebut sejak 10 tahun yang lalu.

Tidak cukup dengan itu, ada juga individu lain yang tampil mendakwa mereka menjadi mangsa prank call gara-gara nombor telefon mereka hampir dengan nombor telefon yang dipaparkan dalam kad nama dalam siri berkenaan.

Denda 50 juta won jika produksi gagal cari jalan penyelesaian

Untuk makluman, pihak Netflix telah pun menghubungi lelaki tersebut dan individu lain serta meminta pihak produksi menyelesaikan isu terbabit dengan segera.

Jika Netflix gagal mencari jalan penyelesaian syarikat terbabit boleh didenda sebanyak 50 juta won lapor Today online.

Salma Syahbuddin