AJL38: Pengalaman 20 Tahun Bantu Genervie Kam Galas Tugas Sebagai Pengarah Muzik, Tetap Rujuk Ramli MS Dapatkan Nasihat

Pengarah muzik Anugerah Juara Lag ke-38 (AJL38), Genervie Kam berkongsi segala persiapan berjalan lancar menjelang anugerah berprestij itu pada malam ini yang akan bersiaran secara langsung di Axiata Arena.

Menurut Genervie yang juga isteri kepada penyanyi Hazama itu, dia tidak berdepan sebarang kesukaran kerana sudah memiliki pengalaman lebih 20 tahun di pentas berprestij itu.

“Saya sudah bersama dengan AJL lebih 20 tahun. Ketika itu, saya banyak bekerja di bawah pimpinan pengarah muzik berpengalaman, Datuk Ramli MS.

“Jadi pengalaman yang saya ada, banyak membantu untuk persiapan AJL38. Kalau ada masalah saya selalu rujuk kepada Ramli untuk mendapatkan nasihat.

“Setakat ini segala persiapan berjalan dengan lancar. Daripada segi teknikal juga hanya ada beberapa hal kecil yang perlu ditambah baik.

“Kali ini seramai 50 pemuzik akan bersama dengan saya untuk memberikan persembahan terbaik kepada 12 finalis yang berentap. Mereka semua berada dalam keadaan baik, malah ada di antara mereka yang pernah terbabit sebelum ini,” katanya.

Genervie ditemui pada sesi raptai di Axiata Arena, pada Jumaat.

Tambah Genervie, dia sedia dibandingkan dengan Ramli yang cukup sinonim di pentas AJL sebagai pengarah muzik.

“Mesti akan ada yang membandingkan saya dengan Ramli. Tapi saya positif dan terbuka dengan sebarang kritikan.

“Saya anggap Ramli sebagai sifu dalam muzik dan banyak belajar daripada beliau. Ramli juga ada menitipkan pesanan supaya saya memberikan yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, penerbit AJL38, Shahrizan Razalli berkata, pemilihan Genervie sebagai pengarah muzik bertujuan memberi peluang kepada muka baharu.

“Secara umum, ini bukanlah kali pertama Genervie terbabit dalam AJL. Sebelum ini dia selalu bersama Ramli.

“Jadi saya rasa kenapa tidak kita beri peluang kepada muka baharu untuk ketuai pimpinan muzik pada tahun ini,” katanya.

Alami dunia Muzikaverse di AJL38, bersiaran langsung dari Axiata Arena, Ahad, 3 Mac, 9.00 malam, di TV3 & strim juga melalui Tonton.

Dibawakan khas oleh penaja utama, Alha Alfa dan rakan penaja, U Mobile. Turut memeriahkan musim ini adalah OhBulan!, XTRA dan Seismik sebagai rakan digital, serta Hot FM sebagai rakan radio.

Khairil Khusyairi