Gigih Naik Bas Dari Perlis, Nurul Shuhada Akur Perbicaraan Ditangguhkan… Harap Hafidz Roshdi Beri Kerjasama

Bekas isteri pelakon Hafidz Rosdi, Nurul Shuhada akur apabila pihak mahkamah memutuskan untuk menangguh perbicaraan hari pertama berhubung kes dicederakan bekas suami yang dijalankan di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Memetik laporan Kosmo! Online, Hakim Sesyen yang bertindak sebagai Majistret, Siti Fatimah Talib, telah menangguhkan perbicaraan itu pada tarikh baharu, 2 dan 3 Julai depan susulan Hafidz tidak dapat hadir ke mahkamah kerana masalah kesihatan.

Menurut Shuhada, dia terpaksa berkorban masa dan tenaga demi menuntut hak keadilan buatnya di mahkamah hari ini meskipun kini sudah menetap di Perlis.

“Saya tinggalkan anak-anak dengan keluarga di Perlis dan datang ke sini dengan menaiki bas pagi tadi untuk hadir ke perbicaraan hari ini.

“Bagaimanapun ketika perbicaraan berlangsung, saya dimaklumkan Hafidz tidak dapat hadir kerana mengalami masalah kesihatan sehingga kes ini terpaksa ditangguhkan pada 2 dan 3 Julai nanti.

“Apa pun doakan saya dan anak-anak semoga kemenangan berpihak kepada kami,” katanya.

Meskipun tidak tahu masalah kesihatan yang dialami Hafidz, Shuhada turut berharap agar bekas suaminya itu cepat sembuh dan dapat memberikan kerjasama untuk hadir ke perbicaraan pada tarikh baharu yang telah ditetapkan.

“Memang kita nak fokus betul-betul kepada kemenangan. Saya tahu saya tidak salah. Saya harap pada 2 dan 3 Julai nanti, kami boleh berjumpa dan selesaikan perkara ini,” katanya.

 

Sumber: Kosmo! Online

Fatin Nurain