Guna Nama Tanpa Izin, Pak Nil Buat Laporan Polis!

Gara-gara menggunakan nama tanpa kebenaran, pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi membuat laporan polis, baru-baru ini.

Ini kerana namanya telah digunakan oleh sebuah kedai menjual alat eletrik tanpa pengetahuan dan kebenaran dengan berniat menipu orang ramai menerusi cabutan bertuah. 

“Saya tidak ada kena-mengena dengan kedai yang menjual alat elektrik itu. Terutama mereka yang berada di Kuching, saya dapat berita ada menggunakan nama Pak Nil tanpa kebenaran. Katanya sebuah kedai jual alat elektrik.

“Mereka akan minta orang lalu-lalang masuk dalam kedai dan buat cabutan bertuah dan ada hadiah percuma yang kononnya akan disampaikan oleh saya dalam sebuah majlis.

“Saya tiada kaitan dengan usaha mereka memerangkap orang yang dirasakan boleh ditipu dan akhirnya menyebabkan wang terbabit dikaut menerusi nombor atau kad bank,” katanya menerusi IGTV di laman Instagram Aznil. 

Membuat laporan di Balai Polis Kota Samarahan, Aznil yang kebetulan berada di Sarawak bimbang kehadirannya itu akan menyebabkan orang ramai percaya dengan apa dikatakan oleh pihak kedai berkenaan.

“Saya dimaklumkan bahawa ada cabutan diadakan pada 31 Ogos nanti dan kebetulan saya berada di sini, nanti orang percaya pula memang ada cabutan pada tarikh berkenaan.

“Saya ke Kuching tidak ada kaitan dengan kedai elektrik berkenaan tetapi sebab menghadiri sebuah majlis.

“Jadi, berhati-hati dan kalau anda didekati oleh insan penipu ini, tolong buat laporan polis,” katanya.

Macam-macam betul orang zaman sekarang ni…nak untung punya pasal sanggup tipu dengan cara kotor! 

SGMS Faida