Konsert sulung penyanyi Hael Husaini, Hael Husaini Live in KL yang sebelum ini ditunda ke tarikh baharu pada 19 Februari 2023 di Zepp Kuala Lumpur terpaksa dibatalkan.

Wakil dari pihak Rocketfuel Entertainment menjelaskan bahawa pembatalan konsert tersebut terpaksa dibuat atas beberapa faktor yang tak dapat dielakkan iaitu kesihatan Hael.

“Terlebih dahulu, kami memohon maaf sekali lagi kepada semua atas pembatalan konsert Hael Husaini Live in KL ini. Keputusan untuk membatalkan konsert ini terpaksa dilakukan atas beberapa faktor dan yang paling utamanya adalah faktor kesihatan Hael yang tidak dapat dielakkan setelah mendapat nasihat doktor,” kata wakil pengurusan Hael.

Sehubungan itu, pembeli tiket diberi jaminan untuk mendapat ‘refund’ penuh.

“Kami faham perasaan gusar yang bakal dirasai pembeli tiket yang sudah pun membeli tiket konsert dan kami memberi jaminan bahawa setiap pembeli akan diberikan ‘refund’ yang penuh.

Pihak Rocketfuel Entertainment turut meluahkan rasa dukacita mereka diatas pembatalan konsert ini kerana telah mengadakan persiapan lebih 70 peratus dan merancang pelbagai aksi menarik beserta lebih kurang 30 lagu bakal didendangkan.

Namun begitu, tahap kesihatan Hael tidak berapa baik kerana jadual kerja yang padat tetapi masih aktif melakukan persiapan konsert hingga tahap kesihatannya merosot dan dinasihatkan oleh doktor untuk berehat serta tidak melakukan sebarang aktiviti seni buat sementara waktu ini.

“Hanya ucapan terima kasih yang tidak terhingga dapat kami sampaikan kepada semua pihak kerana dapat menerima pembatalan konsert ini walaupun dengan hati yang berat. Semoga semua pihak menerima berita pembatalan konsert ini dengan hati yang terbuka, terima kasih,” ujar pihak pengurusan.

Untuk makluman, bagi proses pengembalian wang buat pembeli tiket konsert, sila hubungi talian Ubertickets WhatsApp Hotline 019 5881810

Atiqah Johari