Halalkan Wang Dikebas, Zynakal Berhati-Hati Pilih Kawan – “Jika Ikutkan, Kerugian Hampir Cecah RM200,000”

Penyanyi dan komposer, Zynakal mengakui sudah menghalalkan wang berjumlah RM120,000 yang sebelum ini didakwa disonglap oleh individu terdekat bagi mengenang jasa pihak tersebut.

Menerusi laporan Kosmo, Zynakal atau nama sebenar Muhammad Raziq Rosli membuat keputusan itu untuk mengelakkan diri menjadi bahan ungkitan dan sebaliknya berharap mampu melimpahkan pahala buat ibunya, Allahyarham Zuraidah Ibrahim.

“Sebenarnya jika ikutkan keseluruhan kerugian hampir mencecah RM200,000. Memang pada awalnya saya nak tuntut semula wang itu tetapi saya halalkan saja selepas membuat pertimbangan.

“Biarpun jumlahnya besar, namun saya juga pernah terhutang budi dengannya selain nak mengelakkan diri menjadi bahan ungkitan.

“Bagi saya, kalau RM120,000 ditukar menjadi 120,000 orang di depan mata, saya cuma minta mereka sedekahkan bacaan surah al-Fatihah untuk arwah ibu.

“Itu saja. Jadi antara sebab saya halalkan adalah faktor ini,” katanya.

Menurut penyanyi ini, insiden yang berlaku enam bulan lalu membuatkan penyanyi itu lebih berhati-hati memilh kawan dan menjadikannya pengajaran.

“Semua ini menjadi pengajaran tetapi saya tak mahu salahkan sesiapa. Mungkin peringatan atas kesalahan sendiri pada masa lalu.

“Cuma saya akui masih fobia dan agak trauma untuk berkawan mahupun mempercayai individu di sekeliling. Kadangkala saya tertanya-tanya betulkah ini kawan saya,” katanya.

Terdahulu, anak saudara kepada penyanyi Zamani membuat pendedahan di media sosial tentang kehilangan wang simpanan melebihi RM120,000 yang didakwa perbuatan individu terdekat.

Kemudian, luahan kekecewaan Zynakal mendapat perhatian ramai dan mencadangkannya melaporkan isu tersebut kepada pihak berkuasa.

Sumber: Kosmo

Maya Basir