Hanna Delisha Hanya Rakan Sekerja, Syafiq Kyle Masih Solo!

Biarpun sering dikaitkan dengan pelakon Hanna Delisha, jejaka ini tidak pernah melatah dengan usikan.

Syafiq Kyle atau Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak mengaku yang hatinya masih belum terisi dengan mana-mana wanita buat masa ini.

“ Saya dan Hanna bercinta di lokasi penggambaran, tapi ia bagi menghayati watak saja. Di luar, kami hanya kawan biasa,”katanya.

Syafiq Kyle dan Hanna Delisha sering digosipkan bersama. Sama padan kan? 

Tambah Syafiq, walaupun dia dan Hanna sering digandingan dalam drama bersama, perasaan cinta itu tidak semestinya wujud.

” Perasaan cinta wujud ketika berlakon saja. Kami selesa sebagai rakan sekerja saja. Dalam masa sama, kami juga suka berkongsi ilmu,” katanya kepada Harian Metro.

Sehubungan itu, Syafiq menepis dakwaan yang mengatakan dia sengaja merahsiakan perhubungan itu demi jaga populariti. Betul ke ni?

“Saya jenis suka berterus terang. Kalau betul ada cinta antara kami atau dengan sesiapa sekali pun, saya akan beritahu. Bukan apa, lambat laun perkara sebegini akan diketahui umum juga.

“Cuma, buat masa sekarang saya memang belum terfikir perkara ini. Jadi, ingin ditegaskan saya masih solo,” katanya yang tidak meletakkan sebarang sasaran untuk berkahwin.

Katanya,” Kalau ada jodoh, esok juga saya nak kahwin. Namun, ini semua ketetapan Allah. Saya hanya ikut aturan ditetapkan. Sampai masa saya berkahwin juga.

“Artis atau orang biasa, bagi saya masing-masing ada kelebihan. Saya tidak mahu bongkak cakap menolak jodoh dalam kalangan artis atau bukan. Sebab kita tidak tahu jodoh dengan siapa.

“Bagi saya, perempuan yang berpengalaman dalam soal ini ramai. Tetapi saya nak yang sedap mata memandang dan menyenangkan hati,” akhirinya.

SGMS Faida