“Happy Birthday To Me!” – Syamsul Yusof Enggan Lafaz Cerai, Puteri Sarah Dedah Ibu & Bapa Mentua Ingin Jadi Saksi

Pelakon Puteri Sarah mendedahkan ibu dan bapa mentuanya, Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail ingin menjadi saksi kes melibatkan krisis rumah tangganya bersama pengarah Syamsul Yusof.

Menurut Sarah, Yusof dan Patimah sentiasa berada di sisi dan tahu apa yang berlaku antaranya dan suami.

“Baru sahaja tadi mak dan bapa mentua saya WhatsApp dan mendoakan saya untuk hari ini. Mereka juga ingin mencelah dan ingin menjadi saksi bila berhadapan nanti dengan orang ketiga dan juga Syamsul.

“Mereka nak beri keterangan mereka sendiri kerana mereka sentiasa dengan saya, mereka nampak apa yang berlaku,” katanya.

Ketika ditanya apakah reaksi Sarah apabila hari yang ditunggu-tunggu tidak menjadi kenyataan, pelakon drama bersiri Suri Hati ini ketawa sambil menjawab soalan media.

“Happy birthday to me. Itu sahaja yang boleh saya cakap,” selorohnya.

Terdahulu, Syamsul enggan melepaskan Sarah dan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur mengarahkan pasangan berkenaan dirujuk kepada Jawatan Kuasa Pendamai (JKP).

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

Pada prosiding itu, Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Kamaruddin, 38, diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, peguam syarie Roshdan Sujak Rafie.

Sebelum ini, Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh antara alasan yang dikemukakan Puteri Sarah untuk bercerai ialah sudah tidak ada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.

Permohonan cerai tersebut difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Konflik rumah tangga pasangan itu mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi Syamsul tidak pernah membuka mulut mengenainya.

Bagaimanapun pada Januari lalu, Syamsul akhirnya mengaku sudah bernikah dengan orang ketiga yang didakwa menjadi punca keretakan rumah tangganya bersama Sarah iaitu Ira Kazar.

Susulan pendedahan tersebut, topik mengenai kemelut rumah tangga Sarah dan Syamsul serta kehadiran Ira Kazar menjadi topik hangat dalam kalangan netizen.

Untuk info, Sarah dan Syamsul telah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata, Syaikhul Islam dan Summayah.

Padin