Hasil Bedah Siasat Terbaharu Kematian Tangmo Nida Pula Didedahkan!

Nampaknya kontroversi yang melanda negara masih belum habis diperkatakan.

Begitu juga dengan siri autopsi kematian mendiang aktres popular Thailand, Nida Patcharavirapong atau Tangmo Nida.

Sebelum ini ibunya, Panida Sirayootyotin mendesak pihak berkuasa agar mengadakan bedah siasat buat kali kedua mendiang anaknya itu selepas mengesyaki terdapat unsur jenayah dalam insiden tersebut.

Malah, sebelum ini pelbagai spekulasi timbul apabila peminatnya di seluruh dunia juga bersetuju bahawa siasatan kes kematina Tangmo Nida tidak dijalankan secara telus.

Memetik laporan akhbar Thairat, hasil keputusan bedah siasat untuk kali kedua aktres berkenaan juga adalah bersih.

Menurut panel ahli forensik Sekretari Menteri Kehakiman, Thankrit Chitrareerat memaklumkan, tidak terdapat sebarang unsur jenayah terhadap mayat Tangmo seperti yang dikatakan sebelum ini.

Ini kerana, keadaan matanya adalah normal dan tidak berlaku sebarang pendarahan. Namun, bentuk matanya berubah kerana berada di dalam air.

Manakala, wajahnya juga tidak mempunyai sebarang kesan lebam termasuklah keadaan gigi yang juga lengkap.

Tambahnya lagi, keadaan tengkorak Tangmo juga tidak mengalami sebarang kerosakkan. Malah, keadaan lehernya juga normal dan tidak terdapat sebarang kesan cekik seperti yang didakwa sebelum ini.

Bagaimanapun, laporan forensik masih belum menemukan jawapan kesan luka yang terdapat pada bahagian kaki Tangmo.

Terdahulu, pelakon popular Thailand, Tangmo dilaporkan mati pada 24 Februari 2022 di Sungai Chao Phraya.

Salma Syahbuddin