Henti Aktiviti IG Story, Micheal Ang Enggan Ulang Kesilapan

“Walaupun ramai yang suka, tetapi saya terpaksa hentikan seketika aktiviti IG Story,” kata pengarah terkenal Micheal Ang apabila enggan lagi terkait dengan isu kontroversi selepas ini.

Menurut beliau, keputusan itu diambil selepas dirinya berterusan menjadi mangsa kecaman netizen.

“ Langkah ini dibuat bagi meredakan keadaan, selain tidak mahu mengulangi kesilapan sama yang menyebabkan nama saya menjadi mangsa kecaman netizen.

“Bukan apa, saya takut tersalah cakap dan tidak mahu lagi ia menjadi isu. Membaca komen netizen yang keterlaluan, membuatkan saya takut.

“Mereka suka menghukum tanpa terlebih dulu memahami maksud sebenar yang cuba disampaikan,” katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, Micheal dikecam hebat oleh netizen selepas berkongsi pendapat mengenai isu pelancaran Naelofar Hijab di sebuah pusat hiburan di ibu kota yang mencetuskan kontroversi.

Rata-rata netizen kurang senang dengan pendapat Micheal yang dikatakan seolah-olah mempersenda Islam apabila menyatakan lokasi pelancaran itu boleh digunakan sebagai tempat penganjuran pelbagai acara termasuk majlis tahlil.

“Isu ini banyak membuka mata saya. Peminat walaupun tidak suka perlakuan kita, mereka akan menegur dengan baik.

“Ia berbeza dengan mereka yang membenci apabila terus menghina dan menghukum sehingga saya terpaksa memadam komen yang keterlaluan. Bukan terasa hati, cuma saya tidak mahu orang lain terpengaruh dengan perlakuan negatif mereka itu,'” katanya.

 

SGMS Faida