Hubungan Bersama Dr Azra Mula Renggang Selepas Lebih Setahun Tak Jumpa, Anak-Anak & Bekas Isteri Saran Azri Iskandar Cari Wanita Lain?

Pelakon Azri Iskandar meluahkan rasa rindunya kepada teman wanita ‘misteri’ yang dikenali sebagai Dr Azra.

Memetik laporan Harian Metro, Azri mendedahkan bahawa dia dan Azra sudah tidak berjumpa lebih setahun lalu dan hubungan mereka semakin renggang.

“Kali terakhir saya bertemu dengannya adalah lebih setahun lalu. Dulu, hari-hari juga kami berhubung walaupun tak berjumpa. Sekarang dah tak seperti dulu lagi.

“Saya tak bergaduh dengan dia. Dia memang wanita yang baik. Cumanya, kami jadi renggang sebab jarang berpeluang untuk berjumpa,” katanya.

Menurutnya, anak-anak dan bekas isterinya, Ellie Suriaty menyarankan agar dia mencari wanita lain sekiranya mahu mencari pasangan.

“Anak-anak suruh cari orang lain sebab pada mereka, dia (Azra) nampaknya seperti tak ikhlas. Sampai sekarang, Ellie suruh saya cari orang lain (sebagai pasangan).

“Sebelum ini, saya ada keluar dengan wanita lain juga dan yang itu mendapat sokongan daripada anak-anak saya. Kata mereka, kalau yang itu, okay.

“Saya sedang berkawan dengan wanita lain juga. Ada yang saya kenal itu bekerja dalam industri juga dan ada yang tidak. Tapi, bukanlah pelakon,” ujarnya.

Disoal mengenai kewujudan wanita berusia 44 tahun itu, Azri menegaskan Azra benar-benar wujud.

“Apa salahnya kalau dia muat naik sekeping gambar supaya orang tahu kewujudan dia. Isunya sekarang, orang ingat dia tak ada dan hanya ada dalam otak saya saja.

“Sebenarnya dia memang ada. Ada kawan-kawan yang belajar dengannya di Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) pun kenal dia.

“Kalau saya jadi dia, saya akan ‘keluar’ (dedahkan kewujudan) sebab tak tergamak buat begini. Barulah tandanya sayang,” jelasnya.

Sekadar info, Azra digambarkan seorang wanita yang memiliki Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang muzik serta merupakan penulis skrip dan kini mula berjinak dalam dunia lakonan.

Maya Basir