“Ia Sangat Menyakitkan” – Shima Anuar Kehilangan Darah Akibat Jalani Pembedahan Hamil Di Luar Rahim

Pelakon Shima Anuar berkongsi berita sedih menerusi hantaran terkini di Instagram miliknya apabila terpaksa menjalani pembedahan akibat kehamilan ektopik atau kandungan di luar rahim.

Menurut Shima Anuar atau nama sebenarnya, Noor Hashimah Anuar, 31, dia kini masih berada di wad rawatan rapi (ICU) akibat kehilangan banyak darah dalam proses pembedahan tersebut.

“Ia sangat menyakitkan. Dan saya masih berada di ICU.

“Saya kehilangan banyak darah ketika proses pembedahan semalam. Dan saya juga telah kehilangan bayi saya akibat kehamilan ektopik.

“Terima kasih terlalu ramai yang mendoakan. Saya akan baik-baik sahaja. Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Shima juga ada memuat naik menerusi Instagram Story miliknya memohon maaf dan meminta mendoakan pembedahannya berjalan lancar.

Terdahulu, Shima berkongsi mengenai kehamilan ketiganya ini pada 16 Februari lalu menerusi hantaran di instagram miliknya.

Untuk rekod, Shima mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan, Mohd Solih Toha, 54, pada 2017.

Pasangan ini juga telah dikurniakan dengan dua orang cahaya mata iaitu Marian Sophia, 3 dan Mikhael Iman, 2.

Salma Syahbuddin