Ibu Achey Meninggal Dunia

Pelawak terkenal, Achey Bocey berkongsi berita duka memaklumkan ibu tercinta, Ngaisah Hassan, 74, meninggal dunia pada jam 12.46 tengah malam tadi.

Khabar merobek hati berkenaan dikongsikan oleh Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah di satu hantaran di Instagram miliknya.

“Ya Allah. Permudahkan perjalanan mak di sana. Kami reda ya Allah. Saya atas motosikal lagi, baru balik dari kerja. Mak baik. Mak pergi di bulan yang baik (Ramadan).

“Semoga mak jalani waktu yang terindah. Al-Fatihah,” tulisnya.

Berbaki seminggu menyambut ketibaan Aidilfitri, Achey reda dengan pemergian ibu tercinta yang meninggal dunia di bulan yang sangat mulia.

Menerusi satu hantaran di Instagram Story, Achey memberitahu ibunya meninggal pada malam yang sangat tenang ketika dia memandu ke kampung halamannya yang terletak di Segamat, Johor untuk urusan pengebumian.

“Mak pergi malam yang tenang,” tulisnya.

Difahamkan, ibu Achey, Ngaisah beberapa hari ini menjalani pembedahan di sebuah pusat perubatan di Johor Bahru dan dimaklumkan berada dalam keadaan yang tidak menyenangkan.

Sebelum ini, Achey memberitahu kesihatan ibunya merosot dan berada dalam keadaan tidak menentu serta kerap keluar masuk hospital, sehingga memaksa Achey untuk berulang alik dari Kuala Lumpur dan Johor pada setiap minggu untuk menjaga Allahyarham.

Pada Jun tahun lalu, Allahyarham ibu Achey dimasukkan ke wad kerana menghidap masalah saluran pankreas.

Penyakit itu jarang dijumpai sehingga menyebabkan berat badannya susut lebih 20 kilogram.

Aqilah Paharuzi