“Kalau Sahih Dan Keluar Daripada Mulut Saya, Maknanya Ya…” – Azira Shafinaz Jawab Spekulasi Bercinta Dengan Sharnaaz Ahmad

Sejak dari tahun lalu, pelakon dan penyanyi Azira Shafinaz kerap dikaitkan dengan pelakon Sharnaaz Ahmad. Selain berkawan rapat di luar set penggambaran, kedua-duanya turut kelihatan mesra di laman sosial.

Sharnaaz yang sering dilihat meninggalkan komen di gambar-gambar yang dikongsi Azira di Instagram serta rakan-rakan artis juga seperti memberi bayangan bahawa Azira dan Sharnaaz menjalinkan hubungan istimewa.

Azira menegaskan bahawa dia dan Sharnaaz tidak menjalinkan sebarang hubungan. Sebaliknya, mereka hanyalah kawan semata-mata.

“Saya tiada benda nak cerita sebab kami memang tiada apa-apa. Kita kawan dan mungkin juga orang luar suka kenen-kenenkan. Tapi betul, kami kawan je, tidak lebih.

“Kalau sahih dan keluar daripada mulut saya, maknanya ya (ada hubungan). Kalau tiada keluar apa-apa, maknanya tiada apa. Lagipun saya tak boleh nak tutup mulut orang. Terpulanglah…

“Berkenaan kenapa dia (Sharnaaz) selalu komen gambar saya, kena tanya dialah,” katanya.

Apabila ditanya adakah Sharnaaz memiliki ciri-ciri idamannya, Azira berkata apa yang penting pasangannya itu haruslah memahami, mampu bertolak ansur dan boleh menjaga dirinya dengan sebaiknya.

“Selain itu, umur dan status tidak penting. Apa yang mustahak adalah dia dapat terima saya seadanya, baik buruk saya serta keluarga saya,” katanya lagi.

Menurut Azira, dia mengakui dirinya seorang yang sangat ‘private’ apabila berbicara soal jodoh dan pasangan.

“Saya seorang yang sangat ‘private’. Kalau boleh, tak nak hebohkan benda yang tak pasti. Kalau dah pasti ke pelaminan, mungkin saya akan kongsi. Tetapi setakat kawan biasa, masih kenal-kenal… tidak kot. Apa pun saya serahkan pada Allah SWT, sebab jodoh di tangan-Nya,” ujarnya.

Sumber: GEMPAK

Maya Basir