Nelayan Warga Asing Ceroboh Perairan Negara, RM2 Juta Hasil Laut dan Diesel Dirampas

Dua bot nelayan warga asing bersama 21 kru ditahan kerana menceroboh perairan negara bersama 6,000 kilogram hasil laut, 5,500 liter diesel dan peralatan menangkap ikan bernilai RM2 juta.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing menahan dua bot yang terbabit dalam pencerobohan perairan negara di Kuala Mersing pada jam 10 pagi kelmarin.

Menurut Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran, kejadian ditahan berlaku menerusi rondaan operasi penguatkuasaan bersepadu Op Khas Pagar Laut dan Op Khas Kuda Laut di kedudukan lebih kurang 62 batu nautika timur laut dari Kuala Mersing.

“Pemeriksaan terhadap 21 kru termasuk tekong kedua-dua bot, warga Vietnam berumur di antara 16 hingga 62 tahun juga gagal mempamerkan pengenalan diri yang sah.

“Kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran dari Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semua kru yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut. Hasil rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM 2 juta,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Khairul Nizam berkata, pihaknya mengambil serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pencerobohan vesel penangkapan ikan negara asing bagi mengaut hasil laut dalam perairan negara.

Maritim Malaysia berpesan kepada seluruh komuniti maritim untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan sekiranya gagal tindakan sewajarnya akan diambil.

Sumber: Berita Harian

Kredit foto: Maritim Malaysia

Maya Basir