“Ibu Akan Tepuk Bahu Dan Kata…” – Wany Hasrita Akui Sukar Urus Anak Sendirian

Penyanyi Wany Hasrita mengakui sukar menguruskan cahaya mata sulungnya, Aishah Al Iman sendirian memandangkan suami, Mohd Al Adib Fahmi bertugas sebagai juruterbang di Kuching, Sarawak.

Memetik laporan Harian Metro, Wany bagaimanapun gembira melalui pengalaman tersebut dan Aishah yang kini berusia lapan bulan merupakan perkara paling indah dalam hidupnya.

“Aishah adalah perkara paling indah yang terjadi dalam hidup saya, walaupun tidak dinafikan struggle juga menguruskannya kerana Aishah terlalu manja dan sentiasa mahu saya bersama dengannya.

“Alhamdulillah, saya seronok. Malah, saya ikut saja kata-kata ibu saya setiap kali dia nampak saya lain. Ibu akan tepuk bahu dan kata pada saya tak mengapa, ini jalan yang awak pilih dan kita semua kena melalui kehidupan ini,” katanya.

Menurut Wany lagi, sejak bergelar ibu, dia sukar berenggang terlalu lama dengan anak perempuannya apabila keluar bekerja kerana cepat berasa rindu.

“Kalau dulu masa bujang, fokus memang pada kerja. Tapi sampai masa apabila sudah berkahwin dan ada anak, tanggungjawab sebagai ibu kepada anak lebih diutamakan. Itu takdirnya yang kita kena jalani.

“Cuma, apa yang saya rasa mencabar bukan sebab suami jauh tapi, Aishah sekarang ada anxiety separation, yang mana kalau saya nak pergi dapur pun dia menangis dan kenalah bawa dia duduk tepi saya juga.

“Misalnya, apabila saya cuci pinggan di dapur dan tidak sampai lima minit, Aishah mesti minta dukung. Jadi, dari situ saya belajar bersabar dalam menguruskan penjagaan anak,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Menahan Rindu ini masih belum ada perancangan untuk menetap bersama suami di Sarawak.

Untuk rekod, Wany mendirikan rumah tangga dengan Mohd Al Adib Fahmi pada 22 Julai 2022 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Aishah Al Iman, 8 bulan.

Maya Basir