Ifa Raziah Upah 5 Pengawal Peribadi – “Mereka Ikut Saya Kemana Saja Sampailah Sebelum Masuk Ke Bilik Tidur…”

Pelakon, penyanyi dan usahawan, Ifa Raziah mengaku menggunakan khidmat pengawal keselamatan atau ‘bodyguard’ bagi memastikan keselamatannya terjamin.

Katanya memetik laporan Harian Metro, isu ini bukanlah baharu memandangkan dia menggunakan khidmat pengawal peribadi sejak tahun 2019 lagi.

“Ketika penularan Covid-19 lalu, mereka menjaga agar ada penjarakan sosial antara saya dengan orang ramai.

“Saya melihat pada keperluan. Lagi satu, kalau di acara-acara besar,  mereka juga akan uruskan dan susun atur ketika orang nak bergambar.

“Jadi, kalau perlukan lima orang, saya akan panggil lima orang. Selalunya, paling kurang pun empat orang,”katanya.

Bagaimanapun, bekas peserta program nyanyian Terpaling Juara ini juga memaklumkan, sekiranya dia menjalani penggambaran, khidmat pengawal peribadi tidak diperlukan memandangkan dia mempunyai pasukannya sendiri termasuklah, suami dan pembantu peribadi.

“Kalau setakat pergi ‘shooting’ (penggambaran), memang tak gunakan khidmat pengawal sebab ada pasukan saya termasuklah suami, jurusolek dan pembantu peribadi.

“Tapi, kalau perlu ke acara-acara seperti Starvendor, memang kena guna khidmat mereka sebab ada ramai orang. Mereka akan ikut saya ke mana saja saya pergi termasuklah ketika saya buat kerja, sampailah sebelum saya masuk ke bilik tidur di hotel.

“Mereka akan masuk dulu untuk pastikan keadaan bilik selamat sebelum saya melangkah masuk. Kalau nak makan apa-apa pun, mereka akan tengok dulu makanan itu okay atau tidak. Kalau ada urusan kerja pun, mereka akan ada berdekatan dengan saya.

“Pada masa sama, kerja saya sebagai penganjur acara pun ada kalanya menerima kunjungan tetamu kehormat. Jadi, mereka bukan saja memastikan keselamatan saya terjamin, tetapi juga tetamu-tetamu kehormat saya,” jelasnya.

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin