Ikat Pelakon-Pelakon Hebat Tanah Air, Hafiz Mahamad Sanggup Belanja Setengah Juta & Arah Sendiri Hasilkan Filem Pendek ‘Misi AINAA’

Usahawan dan pempengaruh, Hafiz Mahamad sanggup berbelanja RM500,000 demi menghasilkan sebuah filem pendek terbitan jenama syarikatnya, Ainaa Beauty yang bertajuk Misi AINAA.

Ketika ditemui XTRA, Hafiz berkata penghasilan filem pendek tersebut dilakukan sendiri oleh pasukannya tanpa menggunakan khidmat agensi ataupun produksi luar.

“Sekiranya kami guna khidmat agensi atau produksi luar berkemungkinan kosnya akan mencecah RM1 juta lebih.

“Tapi kami hasilkan sendiri dengan menggunakan pasukan dan bakat sendiri, sebab saya juga yang mengarah dan menulis skrip. Jadi kosnya 50 peratus daripada jumlah produksi luar.

“Kos yang saya keluarkan untuk hasilkan Misi AINAA ini adalah sebanyak RM500,000.

“Apa yang saya bersyukur, saya dapat pindahkan kos tersebut kepada pengurusan dalaman syarikat juga kerana pasukan saya bekerja dengan syarikat kami juga,” kongsinya kepada pemberita.

Hafiz ditemui pada majlis tayangan perdana filem pendek terbitan syarikatnya, Ainaa Beauty iaitu Misi AINAA di Putrajaya, pada Rabu.

Ditanya bagaimana terdetik untuk menyunting nama-nama hebat dalam industri seni bagi menjayakan naskah filem pendeknya itu, Hafiz syukur pelawaannya diterima baik.

“Pada mulanya, saya sebut nama-nama mereka sekadar angan-angan. Pekerja saya ada bertanya siapa yang akan pegang watak-watak tersebut. Jadi saya sebut sahaja nama-nama yang ada kini.

“Bila pihak saya hubungi mereka, mereka terima baik sebab saya anggap barisan pelakon ini bukan seorang selebriti yang terlalu sukakan perkara tular atau wang semata.

“Mereka buat kerana seni, saya ingat lagi ketika saya bertemu dengan Beto Kusyairy, saya ceritakan kepadanya tujuan saya terbitkan naskah ini.

“Alhamdulillah, dia terima. Dia pernah cakap nilai yang dia terima bukan jadi ukuran tetapi jalan cerita sesebuah naskah,” ujarnya teruja.

Untuk info, Hafiz Mahamad merancang 100 peratus jalan cerita dan skrip filem aksi pendek ini adalah simbolik kepada mesej yang ingin disampaikan kisah benar liku-liku perjalanan perniagaan bersama isterinya, Aina.

Misi AINAA dibarisi pelakon ternama seperti Beto Kusyairy, Azhan Rani, Hasnul Rahmat, Hushairi Husain, Elfira Loy dan penampilan istimewa artis seni bela diri yang didatangkan khas daripada negara jiran, Yayan Ruhiyan.

Misi AINAA bakal membawa penonton menyusuri kisah pengasas, Syafiqah Aina yang diculik beberapa penjahat dari pelbagai latar belakang termasuklah seorang pengamal media, ahli politik dan penunggang agama yang mahu mencuri data penting mengandungi segala maklumat pembangunan perniagaan.

Misi AINNA bakal ditayangkan di semua platform media sosial AINAA Beauty bermula jam 6 petang esok.

Khairil Khusyairi