Individu Dakwa Penulis Lirik Lagu Malam Pagi Tiada Iman, Kotor & Jijik

Kecoh di media sosial baru-baru ini apabila ada individu yang mempersoal lirik lagu Malam Pagi nyanyian Saixse yang dikatakan bertentangan dengan akidah.

Menerusi tulisan yang dibuatnya di Facebook, individu tersebut mendakwa penulis lirik lagu tersebut seolah tiada iman.

“Lagu “Malam Masih Muda” (Malam Pagi) yang menjadi siulan ramai memang bermasalah. Tidak perlu analisis panjang lebar, sekali baca sudah tahu.

“Liriknya seolah-olah ditulis oleh orang yang tiada iman. Ia menceritakan tentang pemuda yang fasiq dan hidup bergelumang dengan maksiat, mengalami kekecewaan yang teruk akibat putus cinta.

“Untuk mengubati hatinya yang lara, dia ke parti atau kelab malam. Kadang-kadang dia sekadar duduk-duduk kerana murung, dan ada kalanya dia menari untuk mengubati kesedihannya,” dakwanya dalam satu tulisan.

Tambah individu tersebut lagi, dia pada mulanya dia cuba berpositif namun sangkaannya benar apabila melihat sendiri klip video muzik lagu ciptaan Saixse, dan penyanyi MK K-Clique itu.

“Saya mencari klip videonya untuk mengesahkan kefahaman saya. Saya cuba bertabayyun, tidak mahu memfitnah.

“Dugaan saya benar. Lagu ini memang cabul. Ada babak tari-menari, berpesta, dan adegan berdua-duaan di atas katil dalam bilik antara lelaki dengan perempuan,” dakwanya lagi.

Dalam tulisan itu lagi, dia turut menyentuh beberapa baris lirik yang dikatakan mempunyai maksud yang tidak senonoh dan melanggar aturan Allah.

“Saya rasa lagu ini ada dua versi. Versi yang dinyanyikan dalam rancangan realiti mengandungi lirik berikut:

“Tonight is my night. Yeah I’m gettin loose. She wanted to drink so i gave her my juice.”

“Jika dicari di Google, yang keluar adalah lirik dengan baris lucah ini. Bayangkan jutaan peminat lagu ini, yang sebahagiannya terdiri daripada remaja dan kanak-kanak, diracuni pemikirannya dengan kefasiqan melampau,” tulisnya.

Dakwanya lagi, dia tidak dapat menerima bahawa lagu yang dikatakannya kotor dan jijik itu dihasilkan oleh seseorang yang berstatus muslim.

“Daripada maklumat yang tertera di bawah kedua-dua versi, penyanyi dan penulis liriknya ialah Saixse dan MK K-Clique. Kedua-duanya Muslim.

“Tidak dapat dibayangkan bagaimana Muslim boleh terlibat menghasilkan lagu sekotor dan sejijik ini. Kamu tidak ada otakkah?!

“Semoga Allah melaknat orang yang terlibat merosakkan akhlak dan sahsiah remaja-remaja Islam dengan lagu-lagu seumpamanya. Hancur kamu di dunia dan hancur kamu di akhirat,” tutupnya.

Lagu Malam Pagi nyanyian pendatang baharu Saixse tular di media sosial sehingga menjadi siulan ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Nyanyian “Aku Healing Sampai Pagi” Secara Live Dikecam, Didakwa Tak Sedap Macam Rakaman… Ini Penjelasan Saixse

Khairil Khusyairi