Ingin Cipta Kelainan, Stacy Bakal Bawa Konsep Broadway Dalam Konsert Sulung – “Saya Takkan Sia-Siakan Malam Itu Nanti”

Penyanyi popular, Stacy meluahkan rasa teruja apabila bakal mengadakan konsert solo pertamanya dalam perjalanan karier seninya pada 25 Februari ini di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), Kuala Lumpur.

Stacy atau nama sebenarnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam memberitahu ia satu kerjasama yang paling dinanti oleh peminatnya setelah sekian lama tidak muncul di pentas.

“Sebenarnya saya sendiri teruja untuk adakan konsert ini. Selama 15 tahun saya dalam industri, dari 2008 hingga kini, banyak yang saya dah buat tetapi untuk konsert sendiri lagi-lagi di DFP memang impian sejak dahulu.

“Siapa yang tak ingin buat persembahan di sini. Saya pula penyanyi bergenre pop dance, ia satu kerjasama yang saya nantikan, mesti peminat terfikir bagaimana saya akan persembahkan nanti.

“Saya harap peminat akan terhibur kerana inilah kali pertama dalam hidup saya. Saya takkan sia-siakan malam itu nanti,” katanya pada sesi bersama media sempena Konsert DFP Present Stacy di DFP, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di sini, baru-baru ini.

 

Lebih menarik, Stacy yang diberi jolokan “Queen of Dancing” ini bakal membawakan konsep Broadway bagi mencipta kelainan pada penonton.

“Saya dan team ada berbincang mengenai konsep, saya tak boleh mentah-mentah masuk konsep saya sendiri, konsep pastinya berbeza, apa yang saya boleh gambarkan, saya akan bawa konsep ‘broadway’.

“Saya akan nyanyi semua lagu saya, dan yang istimewanya akan ada penampilan istimewa oleh Akim untuk duet. Dia juga pernah buat konsert disini enam tahun lalu, ketika itu saya tak sempat tengok sebab baru melahirkan bayi dan kali ini giliran saya.

“Persiapan untuk konsep tersebut agak berat dengan tanggungjawab yang saya dapat kerana ini pertama kali DFP bawakan konsep begini. Saya risau dan tak mahu gagalkan perancangan itu.

“Perasaan saya lebih kena mahu capai impian itu, saya teruja tetapi tanggungjawab itu lebih besar untuk masa sekarang. Kita kena pastikan apa yang diusahakan berhasil.

“Orang takkan rugi dengan apa yang saya pada malam tersebut,” kongsinya.

Untuk konsert istimewa di DFP ini, Stacy dijangka membawa peminat-peminat menyusuri perjalanan seni beliau yang menjangkau 15 tahun menerusi lagu-lagu hit pelbagai genre.

Konsert malam itu bakal menampilkan suaminya yang juga seorang penyanyi, Akim Ahmad, yang akan mendendangkan beberapa lagu duet bersama.

Tiket-tiket berharga RM169, RM219, RM269, RM319 dan RM369 (Meet & Greet) boleh didapati di kaunter Box Office DFP atau layari www.dfp.com.my.

Khairil Khusyairi