Ingin Kekal Berlakon Filem, Maya Karin Tenang Masih Dapat Sokongan Peminat!

Pelakon jelita Maya Karin atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke, 43, meluahkan hasratnya untuk kekal sebagai pelakon filem.

Menurut Maya, dia tidak menganggap itu satu isu besar, malah belum terfikir untuk menerima tawaran berlakon untuk sebarang drama di televisyen.

“Untuk lakonan, saya hanya akan kekal untuk filem sahaja. Setakat ini memang belum sentuh mana-mana projek drama televisyen.

“Saya tidak melihat ia sebagai satu masalah besar. Walaupun lama tidak muncul, masih ada peminat yang memberi sokongan,” katanya.

Perkongsian tersebut dimaklumkan oleh Maya ketika ditemui di sidang media Abang Long Fadil 3, semalam.

Biarpun jadual penggambaran padat, pelakon yang berdarah Jerman itu terbuka untuk menerima tawaran sebagai pengacara sekiranya rancangan berkenaan menarik.

“Sekarang ini masih membiasakan diri untuk susun semula semua jadual termasuk lakukan persiapan mental.

“Kalau ada tawaran jadi pengacara, saya terbuka untuk terima jika program itu menarik. Mungkin rancangan berbentuk travelog. Saya boleh berjalan sambil bekerja,” jelasnya.

Antara filem yang pernah dilakonkan oleh Maya ialah, Pontianak Harum Sundal Malam 1 dan 2, Munafik 1 dan 2, Ombak Rindu, Duyung dan banyak lagi.

Fatin Nurain