Ismail Izzani Tak Mahu Hipokrit, Akui Masih Pergi ‘Clubbing’ – “Saya Tahu Batasnya”

Penyanyi sensasi, Ismail Izzani memberitahu dia tidak mahu bersikap hipokrit malah mengakui segala perbuatannya sebelum ini.

Memetik laporan Kosmo!, Ismail atau nama lengkapnya Ismail Izzani Zainal Nazeri turut mengakui dia masih berseronok dengan pergi ke kelab malam.

“Tentang pergi kelab malam (clubbing) atau berparti, kadang-kadang kita semua masih pergi. Saya masih pergi (clubbing).

“Tapi, saya tahu batasnya. Ada benda kita pergi ke sana ada sebab. Kadang-kadang, kawan kita ada di sana. Kadang-kadang juga, sebab nak berseronok.

“Saya pasti orang media pun ada di sana juga (ketawa). Saya tak mahu hipokrit dan mengakui dalam hidup, kita banyak buat silap,” katanya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Luar Biasa ini turut berkata sebagai seorang anak seni, dia tidak mampu untuk puaskan hati semua pihak.

“Kita tak boleh puaskan hati semua orang. Kita tak boleh suruh atau paksa orang sayang kita.

“Bagi saya, siapa yang betul-betul sokong, saya sangat-sangat menghargainya. Haters (orang yang membenci) juga banyak membantu.

“Mereka membuat saya beringat dengan cara yang kasar. Saya tak sentiasa betul dan saya takkan betulkan apa yang salah,” jelasnya.

Terdahulu, nama Ismail Izzani menjadi bualan hangat apabila terpalit dengan kontroversi panas apabila lelaki miripnya berkelakuan tidak senonoh dengan memeluk dan mencium seorang gadis di kelab malam.

Sumber: Kosmo!

Khairil Khusyairi