Isu Buka Tudung, Ibu Haqiem Rusli Jawab Spekulasi Perkahwinan Anak & Menantu – “Saya Baru Tahu Mengenai Keputusan Itu…”

Isteri kepada penyanyi Haqiem Rusli iaitu Anis Sofea hangat diperkatakan apabila dilihat tidak lagi berhijab dan memadam gambar perkahwinannya.

Selepas status perkahwinan menjadi tanda tanya, Anis memuatnaik semula gambar perkahwinan mereka di Instagram.

Memetik laporan Berita Harian, ibu Haqiem iaitu Nazrah Nordin, 54, tampil memberi penjelasan mengenai spekulasi tentang anak dan menantunya.

“Tiada apa-apa yang berlaku… Mereka masih bersama seperti biasa. Anis beritahu fotonya bersama Haqiem tidak dipadam, hanya dimasukkan dalam arkib.

“Hubungan mereka baik-baik sahaja dan tiada masalah berlaku. Malah, ketika bergambar, mereka berpegangan tangan,” ujarnya.

Menurutnya, dia tidak mahu mengambil tahu tentang kata-kata warganet yang mempersoalkan status perkahwinan anaknya.

“Saya buat tak tahu sahaja apabila ada orang buat andaian mengenai mengenai hubungan mereka.

“Haqiem dan Anis dalam keadaan baik-baik sahaja. Ramadan lalu, mereka selalu balik ke kampung bersama-sama.

“Apa yang saya cakap adalah perkara betul. Tiada apa berlaku antara mereka. Saya selalu keluar dengan mereka untuk beraya ke rumah saudara-mara,” katanya.

Mengulas tentang keputusan Anis tidak lagi berhijab sepenuhnya, Nazrah memberitahu menantunya itu masih dalam fasa membiasakan diri bertudung.

“Saya baru tahu mengenai keputusannya itu. Disebabkan Anis baru berusia 21 tahun, jadi kami tidak mahu terlalu menekan. Mungkin perasaannya untuk kekal berhijab masih belum terbuka.

“Haqiem ada beritahu, dia tidak mahu terlalu memaksa. Haqiem percaya suatu masa kelak, Anis terbuka hati untuk berhijab sepenuhnya,” jelasnya.

Untuk rekod, Haqiem dan Anis telah mendirikan rumah tangga pada 19 November 2021.

Maya Basir