Isu Palestin, Israel Ganggu Emosi Mentua Ramona Zamzam

Pelakon Ramona Zamzam tampil mendedahkan emosi mentuanya terganggu ekoran situasi yang berlaku di Gaza, Palestin, sejak kebelakangan ini.

Perkara itu telah dikongsikan oleh Ramona menerusi sebuah hantaran di Instagram, beberapa hari lalu.

Menurut Ramona, bapa mentuanya kerap mengasingkan diri dalam bilik kerana mengenang nasib ahli keluarga yang masih berada di sana.

“Anak perempuan saya datang kepada saya sebentar tadi dan beritahu yang dia nak luang lebih banyak masa dengan ‘seedo’ (panggilan atuk dalam bahasa Arab).

“Dia pergi dan beberapa minit kemudian dia datang semula dan maklumkan datuknya enggan luangkan masa bersamanya dengan alasan mengantuk.

“Saya kata, biarlah seedo tidur. Dia mungkin penat. Namum anak saya pelik sebab seedo sentiasa penat dan nak tidur,” tulisnya.

Tambah Ramona, bapa mentuanya memang sengaja mengelak untuk bermain dengan cucunya kerana terkesan dengan kekejaman yang dilakukan oleh Israel itu.

Malah, perkara itu juga membuatkan fikiran ahli keluarga suaminya itu semakin tidak tenang apabila mengenang angka yang terkorban semakin meningkat lebih-lebih lagi baru-baru ini beberapa buah hospital telah dibom.

“Rupa-rupanya bapa mentua saya memang mengelak untuk bermain dengan Ivanna, dia mengaku terpaksa berbohong.

“Dia sebenarnya sedang menonton berita mengenai konflik di Palestin dan dia tidak mahu Ivanna melihat video pembunuhan yang boleh mengganggu fikiran.

“Sejujurnya, fikiran kami sangat terganggu sejak beberapa minggu ini. Anak kecil saya tidak tahu apa-apa.

“Kalaulah anak saya tahu yang datuk dan neneknya berasal dari Gaza dan mereka sangat terpukul menonton laporan berita setiap hari,” katanya.

Sekadar info, Ramona telah berkahwin dengan suaminya, Rami Alashkar yang berasal dari Palestin.

Sebelum ini, Rami telah hidup berpindah-randah, termasuk di Greece, Qatar, Libya, Bulgaria, Yemen, China dan terakhir menyambung pengajian di Kuala Lumpur.

Rami dan Ramona telah berkahwin pada 1 Mei 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Ivanna Alashkar.

Fatin Nurain